24,000 anggota bomba dikerah hadapi Monsun Timur Laut

24,000 pegawai, anggota bomba dikerah hadapi Monsun Timur Laut

Nor Hisham Mohammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 24,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dikerahkan ke seluruh negara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November depan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya kini dalam keadaan bersiap-siaga melibatkan bantuan tenaga manusia dan aset-aset yang akan dike­rahkan ke lokasi-lokasi banjir di seluruh negara pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, kekuatan itu melibatkan anggota sepenuh masa, bomba bantuan serta anggota bomba sukarela.

“Persiapan awal telah dimulakan dan tahun ini kami memperkukuh keupayaan respons pasukan. Seramai 24,000 anggota dikenal pasti boleh dige­rakkan termasuk bomba bantuan (2,315 orang) dan bomba sukarela (8,956 orang).

“Setakat ini, cuti-cuti bagi semua anggota dan pegawai akan dihadkan bagi persediaan untuk MTL nanti dan hanya akan dibekukan bergantung kepada situasi banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Nor Hisham, buat masa ini kawasan-kawasan lokasi hotspot dalam usaha dikenal pasti dan akan diumumkan kelak selepas dimuktamadkan.

Ujarnya, sebanyak 150 bot komuniti baharu telah diagihkan ke lokasi berisiko banjir bagi membolehkan penduduk setempat bertindak segera sebelum pasukan penyelamat tiba di kawasan terjejas.

Jelas beliau, bot komuniti ini dilengkapi enjin 9.9 kuasa kuda bersaiz 14 kaki, sesuai untuk operasi di kawasan banjir bandar yang cetek dan sempit.

“Usaha ini dapat mengurangkan cabaran logistik serta mempercepatkan operasi menyelamat. Selain itu, JBPM turut memiliki aset tambahan terma­suk 450 kenderaan marin, 417 kenderaan angkut roda ringan dan 119 kenderaan angkut berat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fenomena MTL dijangka bermula pada awal November depan dengan corak hujan lebih kerap di negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak serta timur Sabah.

Menurutnya, tinjauan terkini menunjukkan taburan hujan bulanan sepanjang MTL 2025/2026 di kebanyakan ne­geri dijangka pada paras purata kecuali di Sabah yang dijangka melebihi paras purata.

“Ketika fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 30 September (semalam) dan akan berlanjutan hingga November depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 10 Mei lalu.

Keadaan ini berpotensi menggalakkan pembentukan awan ribut petir. Fenomena ini lazim­nya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam tempoh yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam.

“Sepanjang fasa peralihan monsun, bencana yang biasa berlaku adalah banjir kilat, petir, angin kencang, kepala air, hujan batu dan puting beliung. Kawasan perairan diramal tidak begitu terkesan ketika fasa peralihan monsun berbanding semasa MTL,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga selain sentiasa mengikuti maklumat terkini mengenai ramalan dan amaran cuaca.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN