200,000 rakyat Palestin kembali ke utara Gaza sejak gencatan senjata

200,000 rakyat Palestin kembali ke utara Gaza sejak gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel mula mengundurkan tenteranya pada Jumaat dan puluhan ribu rakyat Palestin kembali ke rumah mereka yang musnah, sebaik sahaja gencatan senjata Gaza berkuat kuasa.

Selepas dua tahun perang, keluarga tebusan Israel berharap gencatan senjata yang digerakkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan bertahan.

Trump sendiri menyatakan keyakinan gencatan senjata itu akan terus kekal, dan mendakwa Israel serta Hamas sudah penat dengan pertempuran.

Tentera Israel mendakwa, pasukannya menghentikan tembakan pada tengah hari semalam, sebagai persediaan untuk perjanjian gencatan senjata dan pemulangan tebusan.

Sebaik sahaja gencatan senjata bermula, ribuan rakyat Palestin mula bergerak dari selatan Khan Younis ke rumah mereka di utara Gaza.

Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, kira-kira 200,000 rakyat Palestin kembali ke utara sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

“Kami kembali ke kawasan kami, penuh dengan luka dan kesedihan, tetapi kami bersyukur kepada Tuhan,” kata Ameer Abu Iyadeh, 32, kepada AFP di Khan Younis.

“Saya hanya berdoa rumah masih utuh, kami berharap perang ini berakhir sepenuhnya dan tidak perlu melarikan diri lagi,” kata Mohammed Mortaja, 39, ketika menuju ke Gaza City.

Pasukan penyelamat mula mengeluarkan puluhan mayat dari kawasan runtuhan selepas gencatan senjata berkuat kuasa.

Misi Kesatuan Eropah (EU) di sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir dijangka membuka semula laluan pejalan kaki pada 14 Oktober, menurut kenyataan Itali.

Agensi pertahanan awam Gaza mengesahkan tentera Israel dan kenderaan berperisai berundur dari bandar Gaza City dan Khan Younis.

Namun, Israel memberi amaran beberapa kawasan masih dilarang dimasuki dan rakyat Palestin perlu menjauhkan diri daripada tenteranya sementara mereka menyesuaikan kedudukan operasi di Gaza.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN