TELUK INTAN: Kira-kira 20 buah rumah di Kampung Lorong Kalat, Batak Rabit di sini diancam hakisan teruk akibat runtuhan tebing Sungai Perak yang dipercayai berpunca daripada fenomena air pasang besar.
Ketua Kampung Batak Rabit, Shuhaila Ahmad Jamlos, 48, berkata, beberapa rumah setinggan yang terletak berhampiran tebing sungai telah mengalami keretakan struktur manakala ada bahagian rumah seperti dapur juga runtuh ke dalam sungai.
“Kita bimbang keadaan ini menjadi semakin buruk memandangkan hujan lebat dan air pasang besar berlaku hampir setiap kali musim tengkujuh.
“Masalah ini juga mungkin disebabkan kerja-kerja projek tebatan banjir sepanjang kira-kira satu kilometer yang dijalankan di tebing sungai ini yang dipercayai menyebabkan tanah mendap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Shuhaila, kejadian terbaru berlaku kelmarin apabila air pasang besar menyebabkan tebing runtuh sekali gus mengakibatkan keretakan serius pada beberapa buah rumah.
Susulan kejadian itu, sebahagian penduduk telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Taman Desa Aman bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Seorang penduduk, Anwar Ukim, berkata, masalah hakisan itu sudah berlarutan sejak setahun lalu namun menjadi semakin kritikal kebelakangan ini.
“Air pasang besar yang kuat setiap kali musim hujan menghakis tanah di bawah rumah kami. Tambahan pula, projek tebatan banjir semakin mendekatkan keretakan dengan kawasan rumah kami,” katanya.
Omar Hamat, 61, berkata, berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini.
“Wajar dibina benteng batu atau tembok penahan yang kukuh agar kejadian lebih buruk tidak berlaku,” katanya.-UTUSAN.









