14 pelajar cedera, sekolah pondok runtuh di Jawa Tengah

14 pelajar cedera, sekolah pondok runtuh di Jawa Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 14 pelajar cedera selepas bangunan kayu sekolah pondok Islam yang digunakan untuk pengajian al-Quran runtuh akibat ribut melanda Kampung Wonosari, Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah kelmarin.

Menurut pegawai tempatan, kejadian berlaku ketika pelajar di Pusat Pendidikan al-Quran Fathul Ilmi sedang mengaji dan menunggu waktu solat Isyak dalam keadaan hujan lebat serta angin kencang.

Bangunan sekolah berkenaan dibina dalam gaya tradisional Jawa dikenali sebagai joglo, dengan tiang kayu tinggi serta ruang terbuka seperti balai penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Struktur joglo kebiasaannya menggunakan kayu jati dan atap genting tanah liat, disambung tanpa paku sebagai sebahagian daripada gaya pertukangan tradisional Jawa.

Lima pelajar mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Dr Oen Solo Baru, manakala sembilan lagi menerima rawatan di sebuah klinik tempatan, menurut Ketua Kampung Wonosari, Didik Sutarto.

“Anak-anak itu sedang bersiap untuk menunaikan solat Isyak apabila bangunan joglo itu tiba-tiba runtuh,” kata Didik.

Ketua Kecamatan Gondangrejo, Sriyono Budhi Santoso, berkata bangunan joglo itu didirikan di atas tanah wakaf dan secara umumnya kukuh, namun tidak mampu menahan kekuatan tiupan angin.

“Strukturnya sebenarnya agak kukuh, tetapi tiupan angin yang kuat menyebabkan ia roboh,” katanya.

Pihak berkuasa memaklumkan ribut itu turut merosakkan bumbung beberapa rumah berhampiran.

Kejadian berlaku hanya beberapa minggu selepas insiden tragik di Sidoarjo, Jawa Timur, apabila sebuah bangunan di Pondok Pesantren Al-Khoziny runtuh ketika proses menuang konkrit, mengorbankan 67 pelajar yang sedang solat di tingkat bawah.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini