GAZA: Sekurang-kurangnya 135 mayat rakyat Palestin yang dipulangkan oleh Israel ke Gaza disahkan pernah ditahan di pusat tahanan Sde Teiman, kemudahan tentera yang terkenal dengan tuduhan penyeksaan dan kematian, menurut pegawai Kementerian Kesihatan Gaza.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr Munir al-Bursh, dan jurucakap Hospital Nasser di Khan Younis berkata, setiap beg mayat yang diterima mengandungi dokumen bertulis dalam bahasa Ibrani, menunjukkan kesemua mangsa disimpan di pangkalan tentera tersebut yang terletak di gurun Negev, selatan Israel.
Menurut mereka, label pada beg berkenaan turut menunjukkan ujian DNA dijalankan ke atas sebahagian mangsa di sana.
Tahun lalu, tentera Israel memulakan siasatan jenayah terhadap kematian 36 tahanan Palestin di kemudahan Sde Teiman yang masih belum selesai sehingga kini.
Gambar dan testimoni yang diterbitkan The Guardian sebelum ini mendedahkan tahanan Palestin di Sde Teiman dikurung dalam sangkar, ditutup mata, digari dan diikat pada katil hospital, malah dipakaikan lampin pakai buang ketika dalam tahanan.
Sebagai sebahagian daripada gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS), Hamas menyerahkan mayat beberapa tebusan yang terbunuh, manakala Israel setakat ini telah memulangkan 150 mayat rakyat Palestin yang terkorban sejak serangan pada 7 Oktober 2023.
Beberapa gambar mayat yang dilihat The Guardian menunjukkan mangsa dalam keadaan menakutkan, ada yang ditutup mata, tangan diikat ke belakang, dan seorang lelaki dililit tali di leher.
Pemeriksaan doktor di Hospital Nasser mendapati tanda-tanda jelas ramai mangsa dibunuh secara ringkas serta menunjukkan kesan tembakan jarak dekat dan kesan dirempuh kereta kebal.
Pengarah Pentadbiran Kompleks Perubatan Nasser, Eyad Barhoum, berkata kesemua mayat tidak mempunyai nama, hanya nombor kod, dan proses pengecaman sedang dijalankan.
Beberapa doktor Palestin berkata, keadaan mayat yang ditutup mata dan diikat menunjukkan mereka diseksa dan dibunuh ketika dalam tahanan di Sde Teiman, yang menurut laporan media Israel kini menempatkan hampir 1,500 mayat rakyat Palestin dari Gaza.
Sementara itu, Pakar forensik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dr. Morris Tidball-Binz, menyeru agar siasatan bebas dijalankan untuk memeriksa dan mengenal pasti punca kematian mangsa.
Tentera Israel (IDF) ketika dihubungi hanya menyatakan siasatan dalaman sedang dijalankan oleh Perkhidmatan Penjara Israel (IPS), namun enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan tersebut.
Sejak 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 75 tahanan Palestin dilaporkan mati dalam tahanan Israel, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. –AGENSI