NARATHIWAT (THAILAND): Sekurang-kurangnya 11 orang termasuk tiga anggota polis cedera dalam insiden letupan bom di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Ramkomut-Yingo di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, anggota polis yang cedera ialah Sarjan Mejar Suron Daoh dan Sarjan Diloktham Nuduk manakala identiti seorang masih belum dapat dikenal pasti.
Lapan orang awam yang cedera ialah Harun Jehko, 22; Muhammad Saifu Sani, 29 Panida Nilong, 30; Ahsan Dueramae, 35; Al-Aman Jeh-ae, 33; Suniya Jehko, 65, Romoh Talengpala, 79 dan Romham Jehko, 82.
Jurucakap Polis Daerah Yingo berkata, enam daripada lapan penduduk cedera itu dikejarkan ke Hospital Daerah Yingo dan Hospital Naradhiwas Rajanagarindra untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, bagaimanapun tiga daripada mereka masih belum sedarkan diri selepas mengalami pendararah otak.
“Serangan itu dipercayai menyasarkan anggota polis dan renjer yang melakukan rondaan biasa di pekan berkenaan. Tetapi yang cedera ialah orang awam yang tidak bersalah.
“Siasatan mendapati, bom buatan sendiri didakwa diletakan berhampiran kawasan kedai kopi. Kejadian itu mengejutkan penduduk yang sedang menikmati sarapan pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, beberapa buah kedai berhampiran lokasi letupan bom turut mengalami kerosakan.
Katanya, pasukan pemusnah bom dan unit forensik telah ke lokasi untuk memeriksa kawasan sekitar mengesyaki pelaku meletakkan bom buatan sendiri seterusnya meletupkan menggunakan menggunakan alat kawalan jauh.
Sementara itu, jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) meminta orang ramai supaya berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti atau individu yang mencurigakan dengan menghubungi pihak berkuasa.- UTUSAN











