SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Galeri Diraja Tuanku Ja’afar memeterai Perjanjian Pemilikan Bersama Harta Intelek melalui projek pertandingan reka bentuk batik motif bunga lada.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kolaborasi kedua-dua pihak dilihat dapat membuka ruang kepada pengkomersialan yang memberi manfaat kepada komuniti.
Inisiatif itu juga katanya sejajar dengan hasrat USIM menghubungkan tradisi dengan inovasi, serta menjadikan universiti sebagai pemangkin memperkukuh identiti kebangsaan.
Katanya, motif bunga lada atau dalam dialek Negeri Sembilan disebut ‘bungo lado’ merupakan simbol istimewa dalam tradisi negeri beradat ini.
Ujarnya, batik bunga lada telah diangkat sebagai penjenamaan rasmi universiti dan seterusnya didaftarkan sebagai harta intelek untuk dikomersialkan secara lebih luas.
“Tahniah kepada Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bin USIM dengan kerjasama Galeri Diraja Tuanku Ja’afar atas pemeteraian memorandum perjanjian ini.
“Apabila batik bunga lada dipilih sebagai batik rasmi USIM ia merupakan langkah strategik dalam memartabatkan warisan bangsa, sambil menghubungkannya dengan dunia akademia dan pembangunan ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Bersama Harta Intelek USIM dan Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini, semalam
Pada majlis berkenaan, Sharifudin menandatangani perjanjian mewakili pihak USIM sementara Galeri Diraja Tuanku Ja’afar diwakili penolong kuratornya, Nur Amira Mohamad Zin.-UTUSAN.










