WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Jumaat mendakwa rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping memberi kelulusan terhadap perjanjian melibatkan TikTok.
Trump berkata demikian selepas mengadakan panggilan telefon hampir dua jam dengan Jinping, yang disifatkan sebagai ‘sangat produktif’.
“Kami berbincang tentang banyak perkara dan hubungan kami sangat baik. Perjanjian TikTok kini berada di peringkat akhir dan para pelabur sedang bersiap sedia,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.
Menurutnya, perjanjian tersebut kini hanya menunggu proses tandatangan rasmi.
TikTok sebelum ini berdepan larangan operasi di AS sekiranya tidak dijual kepada syarikat tempatan.
Namun, Trump menangguhkan penggantungan itu buat kali ketiga pada Rabu untuk memberi ruang kepada rundingan.
Awal minggu ini, Trump berkata, sekumpulan syarikat Amerika bakal membeli aplikasi media sosial popular tersebut, tetapi identitinya masih belum didedahkan.- AGENSI