PASIR SALAK: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu realiti kehidupan yang terpaksa diharungi sebuah keluarga asnaf di Kampung SC, Air Hitam di sini apabila tiga daripada lapan beradik disahkan menghidap penyakit kronik dan memerlukan rawatan serta pemantauan berterusan.
Keluarga itu merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban kewangan yang semakin menghimpit, terutamanya kos rawatan bulanan mencecah ribuan ringgit.
Menurut bapa anak-anak tersebut, Muhamad Hamirul Mohamed Ali, 38, dia bekerja sebagai operator di sebuah kilang sawit manakala isterinya, Norizan Mohamad, 38, terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuh masa menjaga anak-anak yang sakit.
Beliau berkata, anaknya, Muhammad Aminuddin Aqil, 7, pelajar tahun satu, disahkan menghidap Systemic Lupus Erythematosus (SLE) iaitu sejenis penyakit autoimun kronik yang menyerang pelbagai organ dalaman termasuk hati dan limpa.
Katanya, anaknya itu turut mengalami pendarahan hidung yang kerap serta pembengkakan perut apabila makan.
Tambah Muhamad Hamirul, anaknya itu juga tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari secara langsung kerana boleh mencetuskan serangan penyakit dan ruam yang teruk.
“Kos rawatan untuk anak kedua kami, Muhammad Aminuddin Aqil sahaja sudah mencecah RM5,000 sebulan, termasuk ulang alik ke Hospital Ipoh. Kami hanya mampu bertahan setakat mana yang termampu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, anak ketiga pasangan itu, Muhammad Amiruddin Aniq, 11, menghidap asma tahap empat yang kronik dan kerap tidak sedarkan diri sewaktu serangan berlaku.
Dia memerlukan oksigen secara berkala dan sering dikejarkan ke Hospital Teluk Intan.
Anak sulung pasangan itu, Nur Emylia Maisarah, 17, pula menderita penyakit akibat pendarahan di kepala dan strok, menyebabkan kelemahan anggota badan sebelah kiri dan memerlukan alat sokongan untuk berjalan, selain bergantung kepada rawatan berterusan.
“Kami merayu bantuan orang ramai yang prihatin untuk mengurangkan beban kami menjaga anak-anak yang menghidap penyakit kronik,” kata pasangan itu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 0823841100102151 atas nama Norizan Mohamad yang boleh dihubungi di 013-4664806. – UTUSAN