KABUL: Afghanistan berdepan hari kedua tanpa perkhidmatan internet dan telefon bimbit pada Selasa, selepas pihak berkuasa Taliban memutuskan rangkaian gentian optik.
Pihak berkuasa Taliban mula menutup sambungan internet berkelajuan tinggi ke beberapa wilayah awal bulan ini bagi mengelakkan ‘maksiat’.
Pada malam Isnin, isyarat telefon bimbit dan perkhidmatan internet beransur lemah sehingga ketersambungan kurang daripada satu peratus daripada paras biasa, menurut pemerhati NetBlocks.
Ini adalah kali pertama sejak kerajaan Taliban menamatkan pemberontakan mereka pada 2021 dan melaksanakan versi ketat undang-undang Islam, komunikasi ditutup di negara itu.
“Kami buta tanpa telefon dan internet. Semua urusan perniagaan bergantung pada telefon bimbit,” kata Najibullah, seorang peniaga berusia 42 tahun di Kabul.
Beberapa minit sebelum kejadian berlaku, seorang pegawai kerajaan memberi amaran kepada AFP rangkaian gentian optik akan diputuskan, sekali gus menjejaskan perkhidmatan telefon bimbit.
“Lapan hingga sembilan ribu menara telekomunikasi akan ditutup. Tiada cara atau sistem lain untuk berkomunikasi… sektor perbankan, kastam, semuanya di seluruh negara akan terjejas,” kata pegawai yang enggan dikenali.
NetBlocks, badan pemantau yang mengawasi keselamatan siber dan tadbir urus internet, berkata gangguan itu konsisten dengan pemotongan perkhidmatan yang disengajakan.
AFP kehilangan semua komunikasi dengan biro mereka di ibu negara sekitar pukul 5.45 petang waktu tempatan.
Sejak beberapa minggu lalu, sambungan internet menjadi sangat perlahan atau terputus-putus.
16 September lalu, jurucakap wilayah Balkh, Attaullah Zaid berkata, internet gentian optik diharamkan sepenuhnya di wilayah utara atas arahan pemimpin Taliban.
Ketika itu, wartawan AFP melaporkan sekatan yang sama turut dikenakan di wilayah utara Badakhshan dan Takhar, serta di Kandahar, Helmand, Nangarhar dan Uruzgan di selatan.










