Tahap celik kewangan rakyat Kelantan, Sabah paling rendah di Malaysia-KWSP - Utusan Malaysia

Tahap celik kewangan rakyat Kelantan, Sabah paling rendah di Malaysia-KWSP

RAHMAT Ali-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat di Kelantan dan Sabah berada pada kedudukan terendah di negara ini apabila hanya sekitar 15 hingga 16 peratus sahaja yang benar-benar memahami kepentingan mengurus kewangan dengan baik.

Pengarah Wilayah Timur Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Rahmat Ali berkata, angka itu jauh lebih rendah berbanding penduduk di Kuala Lumpur yang mencatatkan lebih 41 peratus.

“Data ini diperoleh hasil bancian pada tahun 2022 melibatkan responden terpilih. Ia melibatkan soal selidik berkaitan bagaimana masyarakat menguruskan keuntungan perniagaan sama ada disimpan di rumah, bank, atau dilaburkan dalam instrumen berisiko rendah.

“Hasil jawapan mereka menunjukkan tahap pengetahuan serta amalan kewangan masih rendah di dua negeri berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Libat Urus Bersama Media KWSP di sini, hari ini.

Rahmat memberitahu, jika individu itu celik kewangan, mereka pasti tahu memilih saluran yang memberi pulangan lebih baik seperti Tabung Haji atau KWSP.

Katanya, ia bukan sekadar menyimpan di tempat yang tidak mendatangkan keuntungan.

“KWSP kini memberi tumpuan kepada usaha melahirkan generasi muda yang lebih berilmu dalam aspek pengurusan kewangan dengan memfokuskan kepada pusat pengajian tinggi terutama mereka yang akan tamat pengajian.

“Langkah ini penting supaya golongan ini tahu persiapan untuk masuk ke alam pekerjaan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN