KUANTAN: Lebih 15 kontraktor baja tempatan berlesen di Pahang mendakwa bakal terkubur atau gulung tikar susulan tawaran tender baharu oleh pihak LKPP Corporation Sdn. Bhd. bagi membekal dan menghantar baja ke ladang-ladang di bawah pengurusan syarikat berkenaan untuk tempoh Januari hingga Oktober 2026.
Keresahan itu timbul apabila syarat baharu tender hanya membenarkan pembekal atau pengilang yang mempunyai kelulusan penuh daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sekali gus mengetepikan kontraktor yang selama ini beroperasi dengan kelulusan Kementerian Kewangan sahaja
Menurut sumber industri, langkah itu dilihat perubahan mendadak yang belum pernah berlaku sejak penubuhan LKPP Corporation dan dikhuatiri menjejaskan kelangsungan operasi kontraktor tempatan yang lebih 30 tahun membekalkan baja kepada ladang-ladang LKPP.
“Kami bukan sahaja berpengalaman malah sudah membuktikan keupayaan daripada segi logistik dan kualiti bekalan. Tindakan mengecualikan kami atas alasan teknikal adalah tidak adil,” kata seorang kontraktor yang enggan dikenali kepada Utusan Malaysia di sini.
Difahamkan, tender tersebut melibatkan pembekalan baja dengan dokumen tawaran bernilai RM1,000 yang perlu dibayar kepada akaun rasmi LKPP Corporation sebelum 12 September ini.
Dakwa sumber itu lagi, sekiranya perkara tersebut berlaku, industri baja tempatan di Pahang dikuasai oleh pengilang-pengilang besar atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sahaja.
“Kami bukan menolak GLC tetapi LKPP Corporation sepatutnya menjadi pemangkin kepada pembangunan kontraktor tempatan. Kalau semua diserahkan kepada syarikat besar, siapa yang akan bangunkan kapasiti anak Pahang.
“GLC ada kelebihan daripada segi modal dan rangkaian tetapi jika kontraktor tempatan terus diketepikan, kita kehilangan peluang membina kapasiti tempatan yang mampan.
“Jika polisi ini dibiarkan, ada kemungkinan semua kontraktor dalam bidang perladangan selepas ini dikuasai bukan syarikat tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, mereka meminta Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi LKPP Corporation dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Datuk Suhaimi Mohd. Yunus mengambil perhatian terhadap kebimbangan kontraktor baja tempatan Pahang yang sudah lama menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negeri.-UTUSAN.










