KOTA BHARU: Taktik licik sekumpulan penyeludup menyorokkan dadah jenis syabu bernilai RM8.9 juta dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza terbongkar selepas diserbu anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan pada 19 Ogos lalu.
Rampasan dadah itu hasil maklumat awam selepas melihat MPV tersebut dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan dekat Kampung Banggol Kulim pada pukul 12.30 tengah hari.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan itu merupakan kejayaan terbesar JKDM Kelantan untuk tahun ini dalam membanteras penyeludupan dadah.
“Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan kenderaan persendirian untuk mengangkut dadah dengan tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas MPV itu membawa kepada penemuan 279.04 kilogram (kg) syabu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kesemua dadah ini dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terletak kira-kira dua kilometer daripada lokasi rampasan.
Katanya, dadah ini dipercayai untuk pasaran luar Kelantan.
“Siasatan lanjut masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957,” ujarnya.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, sehingga 31 Ogos lalu, pihaknya telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah lebih RM21.3 juta berbanding RM105 juta untuk tempoh sama.-UTUSAN