Saya tidak layak jadi PM - Abdul Hadi

Saya tidak layak jadi PM – Abdul Hadi

ABDUL Hadi Awang bersalaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kompleks Pas Kedah, hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka menolak dirinya sebagai calon Perdana Menteri dari Pas atas faktor usia dan kesihatan.

Katanya, Pas mempunyai ramai calon untuk diketengahkan sebagai Perdana Menteri namun bukan dirinya yang sudah berusia lebih 70 tahun.

Ujar beliau, Pas mempunyai panduan dalam memilih calon Perdana Menteri iaitu antaranya mestilah berilmu, integriti dan sihat tubuh badan.

“Seperti saya ini, tidak layah dah, sudah 70 tahun ke atas, layak jadi penasihat sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di sini hari ini.

Abdul Hadi merangkap Ahli Parlimen Marang yang mengetuai Pas sejak 2002 terus diberi kepercayaan menerajui parti Islam itu meskipun berdepan masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sebelum ini memaklumkan bahawa Pas masih memerlukan Abdul Hadi bukan disebabkan tenaga fizikal tetapi akal fikiran dan panduannya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas terbuka bekerjasama dengan MCA dan MIC dengan syarat parti tersebut tidak terlalu ekstrem.

Abdul Hadi juga mengesahkan bahawa kepemimpinan parti itu juga sudah mengadakan perbincangan dengan kedua parti berkenaan berhubung soal kerjasama di dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, beliau juga yakin bahawa momentum kemenangan Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mampu diteruskan dalam pilihan raya akan datang.

“Kita lihat sokongan generasi muda juga sangat baik terhadap Pas. Dalam PRU15, kita menguasai kerusi terbanyak di Perak dan Pahang namun malangnya UMNO tidak mahu bekerjasama dan lebih memilih DAP.

“Kalau kerjasama itu berlaku, Pas atau PN sudah boleh tubuh kerajaan di negeri tersebut. Kita juga mempunyai kerusi di Selangor dan Pahang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×