SARA bantu pasar mini, kedai runcit terus ‘bernafas’

SARA bantu pasar mini, kedai runcit terus ‘bernafas’

AIRIN Yusmira Mohd. Yusof (kanan) melayan pelanggan terdiri daripada warga emas melihat sebahagian barangan yang boleh ditebus melalui bantuan SARA ketika ditemui di Pasar Mini Sri Layang, Rembau baru-baru ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 bukan hanya membantu rakyat menampung kos sara hidup mereka malah kepada pasar mini dan kedai runcit komuniti untuk ‘bernafas’ dan terus beroperasi.

Pemilik Pasar Mini Sungai Layang, Airin Yusmira Mohd. Yusof, 35, berkata, bantuan berkenaan boleh bersifat serampang dua mata sekiranya dapat dilaksanakan di lebih banyak lagi kedai-kedai runcit komuniti.

Katanya, kedai runcit dan pasar raya mini ketika ini berdepan persaingan daripada pasar raya besar sekali gus berisiko kemungkinan ‘gulung tikar’.

“Sedangkan premis perniagaan inilah yang lebih dekat dengan komuniti setempat khususnya golongan warga emas atau luar bandar.

“Jadi, secara tak langsung, premis yang sebelum ini berdepan kesukaran menjana jualan mahupun pendapatan mendapat kesan positif daripada pelaksanaan inisiatif bantuan SARA ini,” katanya ketika ditemui di pasar mini berkenaan di sini baru-baru ini.

Ujar Airin lagi, pasar raya mini serta kedai runcit komuniti memainkan peranan sangat penting kepada masyarakat setempat dalam menyediakan bekalan keperluan harian mencukupi agar tidak terputus makanan asas.

“Saya rasa peluang seperti ini harus dibuka secara meluas kepada pasar mini dan kedai-kedai runcit lain supaya boleh berdaya saing, terus berkembang maju dan berkhidmat kepada komuniti dan masyarakat,” katanya.

Selain itu menurutnya, sejak pelaksanaan SARA bermula 31 Ogos lalu, lebih 500 penerima bantuan telah menebus bantuan tersebut di premis miliknya, sekali gus membuktikan harga barangan di premis berkenaan tertakluk kepada harga yang ditetapkan pihak Kerajaan.

“Kami juga telah menyediakan tag nama barangan bantuan dengan lebih jelas bagi mengelakkan kekeliruan barangan yang boleh ditebus semasa membuat pembayaran di kaunter nanti,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×