Rakyat mahu bantuan bersasar diperluas

Rakyat mahu bantuan bersasar diperluas

KERAJAAN dijadual membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperluaskan bantuan secara bersasar kepada bukan sahaja golongan B40, malah kumpulan M40 yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup dalam Belanjawan 2026 .

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai juga mahu kerajaan mengambil tindakan lebih konkrit membantu rakyat menangani kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Pekerja swasta, Amirul Adam Hasnul Azan, 25, mendakwa, harga barangan asas ketika ini terlalu mahal hingga menjejaskan kemampuan rakyat untuk menampung keperluan seharian.

“Ketika ini harga makanan berada pada tahap yang terlalu mahal dan memberi tekanan besar kepada rakyat, khususnya golo­ngan berpendapatan rendah.

“Bantuan seperti Sumba­ngan Asas Rahmah (SARA) wajar disalurkan dengan lebih kerap agar rakyat benar-benar dapat merasai manfaatnya dalam mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kakitangan awam, Faizal Hamid, 35, pula berkata, bantuan bersasar boleh diperluas kepada golongan B40 dan M40 memandangkan kedua-dua kumpulan itu sama-sama terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Bantuan bersasar ini pen­ting kerana kos sara hidup semakin meningkat. Ramai dalam kalangan B40 dan juga sebahagian M40 masih tertekan de­ngan komitmen harian, jadi kalau kerajaan perluaskan bantuan ini, ia boleh ringankan beban orang ramai,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Irfan Mohammad, 30, memin­ta kerajaan memperkenalkan ela­un makan bagi golongan pekerja untuk membantu mereka me­ngimbangi kenaikan kos semasa.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian elaun makan kerana kebanyakan pekerja ketika ini membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka hanya untuk makanan, dan sebab itu elaun makan menjadi sesuatu yang penting,” katanya

Pembantu farmasi swasta, No­raini Hashim, 42, berharap, ke­rajaan memberi penekanan uta­ma kepada isu kos sara hidup yang paling membebankan rak­yat dalam Belanjawan 2026.

“Kerajaan perlu melihat isu kos sara hidup rakyat de­ngan lebih serius kerana inilah cabaran sebenar yang dirasai mereka setiap hari. Rakyat bukan minta sesuatu yang mewah, cukup sekadar barangan asas dan perkhidmatan kekal pada harga mampu milik,” katanya

Perunding jualan, Islina Ismail, 53, pula berpendapat, taraf hidup yang semakin meningkat terutama di bandar, ditambah harga barangan asas yang tinggi, menyebabkan rakyat terbeban dalam perbelanjaan harian mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN