Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis tumpuan pengunjung seluruh dunia - Utusan Malaysia

Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis tumpuan pengunjung seluruh dunia

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (tengah) menyempurnakan perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 di tapak MBI, Kuala Perlis malam tadi. Turut kelihatan, Abu Bakar Hamzah (kiri).-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka ‘menyerbu’ negeri ini sepanjang lima hari penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 yang bermula 12 sehingga 16 September.

Penganjuran Pesta Air Kuala Perlis terbesar itu juga dijangka mampu menjana hasil melebihi RM200,000 membabitkan jualan peniaga setempat termasuk hotel dan inap-inap desa yang penuh sepanjang pesta berkenaan.

Kehadiran pelancong ke negeri ini juga berkemungkinan melonjak lebih tinggi bersempena cuti hujung minggu dan Hari Malaysia serta musim cuti persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, Pesta Air Kuala Perlis tahun ini telah diberikan nafas baharu iaitu bertaraf antabangsa apabila bakal melibatkan penyertaan peserta atau pasukan dari England, Australia, Brazil, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Libya, Indonesia, Thailand dan pelbagai lagi.

Katanya, penganjuran pesta terbesar tersebut juga merupakan salah satu program yang telah dirancang di dalam kalendar acara pelancongan Perlis dan ‘Eye Of Kuala Perlis’.

“Peserta antarabangsa terlibat bagi kategori perahu naga yang membabitkan 55 pasukan. Kategori berkenaan turut melibatkan agensi dan jabatan kerajaan serta Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

“Manakala, sebanyak 15 buah kampung sekitar Kuala Perlis pula terlibat dalam kategori perahu tradisional. Selain acara utama itu, kita turut mengekalkan sukan rakyat seperti pukul bantal, panjat tiang licin dan menjala ikan serta pertandingan keceriaan kampung.

“Objektif penganjuran acara ini adalah bagi mempromosikan negeri Perlis sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026. Ia juga bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis.

“Selain itu, ia sebagai menyokong hasrat kerajaan Persekutuan bersempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026. Acara seperti ini juga bakal menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya pada majlis perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 di tapak MBI, Kuala Perlis malam tadi.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail.

Keindahan dan keunikan Perahu Diraja Jarum Emas Putra Jamalullail di tengah pancutan air berlampu melintasi perairan muara Sungai Kuala Perlis di depan pentas Diraja di sini turut menjadi simbolik perasmian cukup ikonik bersempena Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 itu.

Sementara itu, Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, menjadi harapan kerajaan negeri agar acara tersebut mendapat perhatian Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya untuk didaftarkan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN