LANGKAWI: UMNO tidak menentang Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), sebaliknya mahu ia dilaksanakan dengan teratur, terancang dan mengutamakan kebajikan rakyat melalui penelitian semula.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, RUU itu mungkin tidak menimbulkan masalah di negeri-negeri lain yang masih memiliki banyak tanah untuk pembangunan namun dalam konteks Kuala Lumpur ia amat terhad.
Katanya, RUU itu juga menimbulkan kebimbangan terutama terhadap orang Melayu di Kuala Lumpur yang terlibat di 139 kawasan yang telah dikenalpasti berpotensi untuk pembangunan semula.
“Kita taK nak peristiwa yang berlaku di Sungai Baru dan juga Flat Tun Razak akan berterusan berlaku untuk 139 kawasan ini, pemaju tak boleh ambil mudah sebab pengalaman di Kuala Lumpur ini mereka sudah tengok dulu semasa kita bangunkan semula Flat Tun Razak yang akhirnya orang dipindahkan di Desa Rejang.
“Sebahagian mereka juga dipindah ke flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mereka patutnya dapat balik unit di Tun Razak kerana itu kepunyaan mereka. Tapi hari ini sudah lebih 15 tahun tak dapat semula, jadi orang takut.
“Peristiwa sama di Sungai Baru, sudah lapan tahun pindahkan penduduk tapi tak boleh buat kerana tiada pihak yang benar-benar memantau pelaksanaan maka apa yang berlaku akhirnya rakyat juga sengsara,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME), hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan Johari dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB yang bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek akta itu secara terperinci sebelum dibentang dalam Konvensyen Melayu Bandar pada hujung September ini.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, UMNO menerima banyak maklum balas daripada ahli parti serta masyarakat khususnya orang Melayu yang mahu kerajaan melihat semula peruntukan akta tersebut agar tidak menimbulkan kesulitan kepada rakyat.
Katanya, selagi isu di Sungai Baru dan Flat Tun Razak tidak diselesaikan maka agak mustahil untuk kerajaan melaksanakan projek pembangunan semula yang baharu di bawah PSB.
“Sebagai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur saya mengambil kira masa hadapan, apa akan jadi kalau kawasan yang kita duduki berusia 40, 50 tahun. Kita perlu bangunkan semula mengikut acuan sendiri dan bukan ikut negara-negara yang telah membangun kerana kita masih hendak membangun.
“Jadi inilah banyak perkara yang saya rasa mereka nak tengok balik bagaimana kita boleh dapatkan satu keadaan menang-menang iaitu negara boleh dimajukan, rakyat pula tidak tertekan hasil daripada akta yang kita tak dapat perincikan,” katanya.
Menurut Johari, beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk penduduk terjejas sebelum sebarang cadangan dimuktamadkan.
Beliau turut menyarankan supaya kerajaan melalui UDA Holdings Berhad atau agensi berkaitan terlibat secara aktif dalam projek pembangunan semula terutama di kawasan berpendapatan rendah.
“Ada projek kemungkinan besar boleh dibuat oleh pemaju swasta tetapi ada yang tak boleh kerana projek-projek ini memang tidak boleh menguntungkan kawasan-kawasan kos rendah, jual pun tak boleh mahal maka itu kita perlukan intervensi kerajaan,” katanya. – UTUSAN










