Peniaga tolak pengurusan baharu Pasar Kamunting

Peniaga tolak pengurusan baharu Pasar Kamunting

PENIAGA mengadakan perhimpunan membantah beberapa tindakan yang diambil oleh pengurusan baharu Pasar Harian Kamunting di Taiping, Perak. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seramai 350 peniaga Pasar Harian Kamunting di sini membantah pengurusan baharu tapak pasar malam dan pasar harian berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Interim Peniaga di pasar itu, Azrie Fauzi, 30, berkata, penolakan itu selepas pihak pengurusan baharu didakwa mahu melakukan rombakan besar-besaran termasuk proses temuduga semula terhadap peniaga di tapak pasar tersebut.

Menurutnya, tindakan itu bercanggah dengan jaminan awal Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bahawa semua peniaga sedia ada dikekalkan dan hanya peniaga baharu akan ditambah.

“Apabila pihak pengurusan baharu mahu menyaring semula peniaga, ia menimbulkan kemarahan kerana ada yang beri­siko kehilangan tempat berniaga sedangkan ramai sudah berniaga lebih 30 tahun,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas perhimpunan aman peniaga pasar tersebut di hadapan Bangunan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini.

Peniaga turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir.

Azrie berkata, Pasar Malam Kamunting mempunyai lebih 200 peniaga manakala Pasar Harian Ahad pula disertai lebih 400 peniaga justeru cadangan temu duga semula hanya akan mengekalkan sebahagian kecil peniaga asal.

“Sekiranya proses itu diteruskan, hanya 15 hingga 20 peratus peniaga lama akan dikekalkan. Sebab itu majoriti menolak cadangan ini,” katanya.

Sementara itu, Khairul Amir berkata, keputusan muktamad isu tersebut tidak boleh dibuat terburu-buru sebaliknya mesti melalui proses telus dengan memberi ruang kepada semua peniaga menyatakan pendirian masing-masing.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×