KANGAR: Pelaksanaan parkir pintar di negeri ini masih ditangguhkan sehingga semua teguran yang disampaikan pelbagai pihak diambil tindakan sebaiknya.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan semula secara lebih mendalam bersama syarikat pengendali, Snatch-P bagi melihat kaedah terbaik pelaksanaan sistem parkir itu.
Beliau berkata, buat masa ini, ramai tidak berpuas hati dengan penggunaan palang bagi sistem tersebut dan perkara itu perlu dibincangkan secara teliti bersama syarikat terlibat serta akan mengambil sedikit masa.
“Sekarang ini, orang cuma bising mengenai soal penggunaan palang itu sahaja dan nanti saya akan lihat dan bincang semula kaedah daripada segi aturan dan penggunaannya sama ada melibatkan kos atau tidak.
“Dan saya juga nak nasihatkan syarikat Snatch-P ini supaya jangan terlalu cepat dalam pelaksanaan dan perlu ambil masa sedikit,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem parkir pintar di negeri ini selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada penambahbaikan oleh syarikat pengendali.
Keputusan tersebut dibuat bertujuan bagi memastikan pelaksanaan sistem itu benar-benar selesa dan tidak menyusahkan rakyat.
Sistem parkir pintar tersebut yang mula dikuatkuasakan secara rasmi pada 16 Jun lalu merupakan inisiatif Majlis Perbandaran Kangar (MPK) ke arah pendigitalan dan kemajuan infrastruktur bandar di Perlis.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, pihaknya turut berbesar hati menerima pandangan-pandangan positif daripada pelbagai pihak berhubung pelaksanaan sistem parkir pintar itu.
“Teguran-teguran yang diterima ini boleh diperbaiki lagi sebelum kita melaksanakan penggunaan sistem tersebut,” katanya.-UTUSAN