KUANTAN: Dua lelaki maut selepas kereta jenis Proton Waja dinaiki terbabas dan merempuh sebuah lori yang diparkir di bahu jalan di Batu 8, Jalan Gambang- Kuantan di sini malam tadi.
Mangsa yang maut, seorang mekanik, Zulkifli Mohamad, 43, dan pekerja kedai potong kereta, Mohd. Hairul Azlin Samud, 39.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian kemalangan tersebut pada pukul 10.08 malam.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalan dari arah Gambang menghala ke Kuantan.
“Siasatan awal mendapati, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori yang diletakkan di bahu jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, kedua-fua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Wan Mohd. Zahari berkata, siasatan awal juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Waja.
“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN










