PETALING JAYA: Kira-kira RM80 juta dibelanjakan sejuta rakyat pada hari kedua pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mula diberikan kelmarin.
Pemberian tersebut turut melibatkan kira-kira 7,000 peruncit di seluruh negara antaranya Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
Di bawah Belanjawan 2025, kerajaan menyediakan sebanyak RM2 bilion secara sekali untuk 22 juta penduduk dengan melibatkan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan sebelum itu berkata, berikutan jumlah pengunaan terlalu tinggi, sistem mengalami transaksi mendadak dan terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKsih mengalami penurunan prestasi ketara di beberapa lokasi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata mereka yang merupakan penerima SARA dan kakitangan runcit bertungkus-lumus memastikan segala proses penebusan berjalan lancar.
Bagi pengurus pasar raya di ibu kota, Ahmad Faris Che Noordin, 26, gangguan teknikal itu memberi pengajaran kepada pihaknya agar lebih bersedia untuk menguruskan jumlah pelanggan yang lebih ramai.
“Situasi agak mencabar kerana pelanggan sudah masukkan barang ke dalam troli, tetapi transaksi gagal.
“Namun, hari ini (semalam) sistem kelihatan agak stabil dan pelanggan dapat membeli seperti biasa,” jelasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Julai lepas mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
Anwar berkata, pemberian bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberikan manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Antara barangan yang terlibat termasuk beras, telur, mi segera, makanan dalam tin, minuman, bahan peras, biskut, minyak masak, roti, produk kebersihan diri, tepung, barangan kebersihan rumah, ubat dan keperluan sekolah.
Sementara itu, seorang penerima SARA, Aisyah Abu Bakar, 24, berkata, walaupun jumlah bantuan dilihat kecil, tetapi ia tetap bermakna bagi membantu anak muda sepertinya membeli barangan asas tanpa menambah beban kewangan bulanan.
“Bantuan SARA ini amat membantu kami untuk membeli barangan basah seperti sayur dan keperluan memasak yang lain,” katanya.
Husna Ghazali, 25, pula berkata, pengalaman menggunakan SARA membawa perspektif berbeza kerana menurutnya, gangguan teknikal pada hari pertama bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
“Biasalah kalau sistem baharu, tentu ada cabaran di peringkat awal. Yang penting, pihak berwajib cepat bertindak menstabilkan sistem supaya penerima tidak terus terbeban,” katanya.
Tambah Husna, keadaan pada hari kedua jauh lebih meyakinkan kerana proses penebusan berjalan agak lancar selain sokongan petugas pasar raya yang membantu orang ramai. – UTUSAN










