Kutipan caj masuk Thailand tunggu maklum balas Pusat - Utusan Malaysia

Kutipan caj masuk Thailand tunggu maklum balas Pusat

MOHD. Shukri Ramli (dua dari kiri) bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cadangan caj RM2 atau RM5 kepada setiap pelancong yang keluar ke Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian masih di peringkat kajian dan menanti maklum balas selanjutnya dari kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, permohonan bagi cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan masih belum menerima sebarang kelulusan.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan itu berdasarkan panduan pelaksanaan kutipan bayaran yang dilakukan di sempadan Johor dan Singapura.

“Permohonan dibuat itu, saya ingat semasa mesyuarat bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada tahun lepas lagi. Mudah-mudahan ada kelulusan daripada permohonan yang kita kemukakan itu,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Perlis mencadangkan pelaksanaan caj RM2 kepada setiap pelancong yang keluar ke Thailand melalui pintu sem-padan Padang Besar dan Wang Kelian, sebagai langkah yang mampu menjana jutaan ringgit setahun hasil limpahan pelancong ke negeri itu.

Melalui caj itu, Perlis mampu menjana pendapatan jutaan ringgit selepas mengambil kira jumlah jumlah pelancong memasuki Thailand melalui sempadan Padang Besar dan Wang Kelian pada musim cuti persekolahan, cuti peristiwa dan hujung minggu yang boleh mencecah antara 30,000 sehingga 50,000 orang.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, mekanisme bagi kutipan bayaran itu juga masih belum ditetapkan dan akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan selepas ini.

“Apabila kita mohon untuk kutipan itu, ia merangkumi semua sempadan sebab pelaksanaan adalah di bawah kerajaan Persekutuan dan tak boleh hanya lulus Perlis sahaja.

“Jumlah kadar bayaran itu juga akan ditentukan oleh kerajaan Persekutuan dan ia nanti dapat digunakan semula untuk tambah baik prasarana, laluan masuk serta pelbagai lagi,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menubuhkan Institut Strategik Perlisku Bestari yang menjadi sebuah badan pemikir dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, institut tersebut akan membantu Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dalam memberikan nasihat-nasihat daripada pakar dan jemputan khusus dalam apa jua bidang yang diperlukan.

“Kerajaan negeri akan memanggil pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu ini untuk bersama dengan institut ini bagi melakukan sebarang kajian serta memberi nasihat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN