KOTA BHARU: Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 803 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-56 di Balai Istana Besar, di sini hari ini.
Shamsul Azri Abu Bakar dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.
Selain Shamsul Azri, Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) Datuk Seri Zukri Samat dan Ketua Pegawai Eksekutif Asianmax Corporation Sdn. Bhd Datuk Soo Zee Ching turut menerima Darjah Kebesaran SJMK.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar menjadi penerima tunggal bagi Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.
Selain itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dikurniakan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) membawa gelaran Datuk.
Pada istiadat tersebut, Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Penasihat Undang-undang negeri Kelantan, Datuk Idham Abd Ghani.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menjadi penerima tunggal bagi Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) untuk Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) membawa gelaran Datuk.
Selain itu, sembilan penerima Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, Timbalan Speaker Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang membawa gelaran Datuk.
Tiga individu menerima anugerah Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengerusi Heitech Padu Berhad, Datuk Rizal Ashram Ramli, Pengarah Urusan Magna Prima Berhad, Seah Ley Hong dan Ketua Pegawai Pembangunan TNB Power Generation Sdn. Bhd Shahrir Abdul Latiff.
Selain itu, lima individu menerima anugerah Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) yang turut membawa gelaran Datuk termasuk Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, Panglima Wilayah Udara 1, Datuk Mahadzer Amin dan Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara, Datuk Azhar Mustapha.
Seramai 17 individu menerima anugerah Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Amran Mat Zain, Akauntan Negara, Zainani Jusoh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Azi Rahimee Mohamed, Bendahari Negeri Kelantan, Roslan Yahya, Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Nik Raisnan Daud dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Zulkiflee Ab. Rahman membawa gelaran Datuk.
Sementara itu, empat individu menerima anugerah Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Hakim Mahkamah Tinggi 1 Kota Bharu, Hasbullah Adam, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr. Arham Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd. Fadly Amri Aliaman.