Kerajaan kekalkan harga pasaran RON95 RM2.60 seliter sepanjang Oktober - Utusan Malaysia

Kerajaan kekalkan harga pasaran RON95 RM2.60 seliter sepanjang Oktober

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengekalkan harga pasaran bagi petrol RON95 pada RM2.60 seliter untuk sepanjang Oktober ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurutnya, harga tersebut akan dikekalkan untuk tempoh sebulan supaya orang ramai lebih selesa dengan pelaksanaan mekanisme baharu pemberian subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) tersebut, sebelum ia diapungkan berdasarkan harga global.

“Kemudian seperti mana diesel, kami akan mengemas kini harga pasaran setiap minggu berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Seramai 1.5 juta pengguna telah menerima manfaat daripada pelaksanaan awal BUDI95 selama tiga hari bermula Sabtu lalu dan setakat ini, pelaksanaannya berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Minggu Ekonomi Dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 bertemakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13): Melakar Semula Pembangunan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi subsidi petrol, kerajaan telah memperkenalkan mekanisme penyasaran yang bermula dengan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan kumpulan pertama menikmati inisiatif berkenaan pada Sabtu lalu.

Katanya, ia sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada hari berikutnya dan kepada semua warganegara pada Selasa.

“Bagaimanapun, golongan tidak layak, termasuk warga asing dan sektor komersial, perlu membayar harga pasaran tanpa sokongan kerajaan.

“Penjimatan hasil langkah itu akan disalurkan semula kepada pembangunan infrastruktur negara.

“Fokus kerajaan kini adalah memastikan pelaksanaan pengurangan subsidi berjalan lancar dan setakat ini ia berjalan dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN