PETALING JAYA: Keluarga kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, menggesa prosiding inkues segera dilaksanakan bagi menyiasat punca sebenar kematiannya selepas bedah siasat kedua menemukan beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) itu.
Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, hasil bedah siasat menyeluruh yang dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur kelmarin mendapati terdapat kecederaan yang perlu disiasat lanjut kerana berkemungkinan menyebabkan kematian.
“Bedah siasat bermula jam 9 pagi dan tamat kira-kira 4 petang. Ia dilaksanakan dengan teliti, setiap anggota badan diperiksa selain turut menggunakan imbasan CT scan. Hasilnya menunjukkan kecederaan mencurigakan yang wajar disiasat.
“Saya memohon Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengambil tindakan segera melaksanakan inkues. Kami juga mahu siasatan lebih serius dijalankan bagi mengenal pasti punca kecederaan serta bagaimana ia berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, keluarga berharap Peguam Negara memberi jawapan terhadap permohonan inkues yang telah dikemukakan sebelum ini pada Selasa ini.
“Sekiranya tidak dilaksanakan, kami akan memohon kali kedua di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya.
Sementara itu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menyerahkan sepenuhnya kepada pihak peguam mengenai tindakan susulan.
Jenazah Syamsul Haris yang digali semula untuk tujuan bedah siasat kali kedua telah selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih kira-kira jam 6.30 petang kelmarin dengan diiringi sepasukan juru iring Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada 19 Ogos lalu, Ummu Haiman memohon kebenaran mahkamah bagi menggali semula kubur anaknya serta mencadangkan prosiding inkues dijalankan.
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor sebelum dikebumikan keesokan harinya.-UTUSAN.










