Kelantan negeri kedua miliki Mahkamah Teknologi Syariah

Kelantan negeri kedua miliki Mahkamah Teknologi Syariah

MOHD. Asri Mat Daud (duduk) sambil memperkatakan sesuatu kepada Ibrahim Deris semasa  perasmian Dewan Mahkamah Teknologi Mahkamah Syariah Kelantan Kompleks Mahkamah Syariah Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan menjadi negeri kedua selepas Sarawak yang memiliki kemudahan Mahkamah Teknologi Syariah di negara ini sekali gus membolehkan prosiding perbicaraan dilakukan secara dalam talian.

Ketua Hakim Syarie negeri Datuk Ibrahim Deris berkata, kemudahan itu selari dengan era digital yang menuntut sistem kehakiman Syariah bergerak seiring dengan perkembangan teknologi maklumat hari ini.

Menurutnya, penggunaan teknologi ini mendapat kelulusan Mesyuarat Jamaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Bilangan 2 Tahun 2021 yang memberi panduan jelas penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam prosiding Mahkamah Syariah.

“Prosiding atas talian hanya dibenarkan bagi kes-kes mal sahaja, manakala kes-kes jenayah Syariah tidak dibenarkan dijalankan secara maya. Hal ini bertujuan memastikan tatacara kehakiman dan kedudukan hukum tetap terpelihara.

“Hasrat utama kita adalah memastikan keadilan Syariah dapat ditegakkan dengan lebih cepat, efisien dan inklusif, tanpa menjejaskan prinsip-prinsip hukum Syarak yang menjadi teras perundangan Islam,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Dewan Mahkamah Teknologi Mahkamah Syariah Kelantan Kompleks Mahkamah Syariah Kelantan di sini hari ini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd. Asri Mat Daud.

Ibrahim memberitahu, kemudahan Mahkamah Teknologi ini turut memudahkan urusan pihak yang mempunyai halangan untuk hadir secara fizikal atas faktor kesihatan, jarak dan sebagainya.

Katanya, inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kerajaan Kelantan untuk memperkasakan sistem perundangan Syariah dan menambah baik mutu perkhidmatan awam.

“Dengan adanya kemudahan ini, perbicaraan tidak mengambil masa yang lama. Ia boleh diselesaikan dalam masa dua hari sekiranya proses dokumentasi lengkap sepenuhnya,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN