Kek Jalur Gemilang dapat sambutan

Kek Jalur Gemilang dapat sambutan

NOORHASLINA Ab. Hamid menunjukkan antara kek bercorak Jalur Gemilang yang ditempah pelanggan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semayor, Kemasik di Kemaman, Terengganu. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang suri rumah dari Kampung Semayor, Kemasik di sini, tidak menang tangan menyiapkan tempahan kek dan pencuci mulut yang bertemakan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan Ke-68 dan Hari Malaysia yang di­sambut pada 16 September ini.

Noorhaslina Ab. Hamid, 41, berkata, dia menerima tempahan pelbagai jenis kek dan pencuci mulut termasuk kek marble jelita, kek coklat, brownies dan apam mini yang bertemakan Jalur Gemilang dan warna-warna Merdeka sejak awal bulan lalu.

“Sebelum ini saya hanya menerima kek yang bercorak biasa namun bermula awal Ogos, saya banyak menerima tempahan kek dan pencuci mulut lain yang bertemakan Jalur Gemilang serta kemerdekaan.

“Saya membuat corak dan melakar kek dan pencuci mulut mengikut kehendak pelanggan. Ada pelanggan yang mahu kek dihias dengan Jalur Gemilang dan ada yang mahu corak bunga raya. Saya cuba sedaya-upaya mengikut kehendak mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Ibu kepada dua anak itu berkata, tempahan kek dan pencuci mulut yang dijual mengikut saiz serta jenis dijual dari harga RM20 hingga RM80 itu meningkat dari 30 biji sebulan pada hari biasa hingga mencecah 100 biji kek.

Menurutnya, kek dan pencuci mulut bertemakan kemerdekaan itu kebanyakannya ditempah oleh pihak sekolah, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sambutan hari kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Alhamdulillah sambutannya sangat luar biasa hinggakan kadangkala saya tidak ‘cukup tangan’ kerana saya hanya buat kek ini seorang untuk menjaga kualiti,” katanya.

Ujarnya, bagi memastikan rasa kek yang dihasilkan enak dan tahan lama, dia mengikuti kursus membuat kek dan pencuci mulut secara dalam talian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×