PORT DICKSON: Seorang lelaki dikatakan sempat menghubungi bapanya sebelum dia ditemukan maut bersama kakaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan ibu saudara yang merupakan pesakit kencing manis dalam kejadian di Taman Tanjung, di sini, Jumaat lalu.
Seorang jiran lelaki itu yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui kejadian mengejutkan itu dari jiran-jirannya yang lain kira-kira pukul 11 malam.
“Tidak sangka kejadian ini berlaku, kami sudah mengenali keluarga itu lebih 10 tahun. Saya selalu beli nasi lemak dijual wanita berusia 50-an itu yang tinggal bersama dua anak saudaranya iaitu wanita OKU dan seorang lelaki.
“Anak saudara yang lelaki juga pun kerja elok sahaja, jadi tak sangka mengapa kejadian ini berlaku. Saya dapat tahu lelaki itu hubungi bapanya untuk datang, apabila bapanya datang, mereka buka pintu dan terkejut dengan kejadian itu.
Turut ditemukan surat yang sempat ditulis menyatakan sebab mengapa mereka ditemukan dalam keadaan begitu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menerima panggilan dari Hospital Port Dickson kira-kira pukul 12.20 tengah malam berkenaan kematian dua perempuan dan seorang lelaki tempatan.
Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis mendapati dua mayat dijumpai di bahagian ruang tamu rumah dan satu mayat di atas katil dalam bilik tidur.
“Ketiga-tiga mayat dalam keadaan terlentang dengan lengkap berpakaian. Ketiga-tiga si mati berusia dalam lingkungan 38 tahun sehingga 56 tahun dan kesemuanya mempunyai pertalian keluarga.
“Salah seorang si mati juga dikenal pasti mempunyai penyakit kronik dan seorang lagi merupakan orang kurang upaya,” katanya.
Ujar Alzafny lagi, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kesemua tubuh badan si mati tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan atau perlakuan jenayah.-UTUSAN.











