KOTA KINABALU: Pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha mendedahkan `High Council’ wujud di Asrama Qurratu ‘Ayun di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Asrama tersebut mempunyai dua blok kediaman pelajar perempuan iaitu Blok A, Rabiatul Adawiyah yang merupakan blok kediaman pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dan lokasi remaja terbabit ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu dan Blok B, Sumayyah.
High Council merupakan drama bersiri di stesen televisyen berbayar yang mengisahkan mengenai budaya gengsterisme dan buli dalam sebuah sekolah berasrama penuh yang diambil daripada inspirasi kisah benar.
Linah membuat kenyataan tersebut ketika ditanya oleh peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah lamat, ibu kepada Zara Qairina.
Shahlan: Sejak puan bekerja di asrama terbabit daripada 2012 sehingga sekarang, pernah tak dengar istilah `MA’?
Linah: Pernah.
Shahlan: MA tu apa?
Linah: Perjumpaan haram, pandai-pandai saja senior ini. Dulu sudah diharamkan, sudah dilarang itu tuan.
Shahlan: MA ni sejak bila?
Linah: Selama asrama di atas, awal bulan 3, 2017. Saya pun tak tahu mula-mula, bila tanya budak-budak (penghuni asrama), baru faham.
Shahlan: Apa budak-budak cakap (pasal MA)?
Linah: Saya tanya MA apa? Budak-budak itu kata, macam perjumpaan, (mana-mana) budak yang tidak hormat senior dipanggil senior, ditegur supaya hormat senior. Macam kalau ‘limpas’ (berselisih) senior tetapi tak senyum akan dipanggil, ditegur. Macam nasihat kat adik-adik
Shahlan: Nama panjang MA ini `Mesyuarat Agung’?
Linah: Tak tahu. Saya tahu MA saja.
Shahlan: Kenapa MA ni diharamkan, dilarang?
Linah: ‘Dorang’ (mereka) senior ini dilarang sebab bertindak sesuka hati, mereka tidak dibenarkan buat sesuka hati. kalau ada kesalahan, (kena) beritahu cikgu (dan) cikgu yang akan siasat. Sama juga kalau tingkatan lima atau tingkatan empat (buat kesalahan) cikgu akan nasihat, Cikgu pun tak tahu senior buat begini (MA).
Shahlan: Kalau cikgu tak tahu pasal MA, macam mana boleh diharamkan?
Linah: Ada pelajar tingkatan lima yang bagi nasihat jangan buat begitu. Saya ada dengar tingkatan lima kata, sudah diharamkan sudah MA ini. Itu yang saya dengar.
Shahlan: Selepas MA, apa jadi pada pelajar yang dipanggil?
Linah: Dorang bercakap sesama sendiri. Bila mereka limpas di tempat pengawal, saya tanya dari mana, mereka bilang ada MA aunty. Tak tahu dorang (senior) cakap apa, kena tegur pasal pakaian juga.
Shahlan: Sebelum kes Zara Qairina ini, ada tak dengar pasal MA?
Linah: Tiada.
Shahlan: Ada tak kemungkinan, Zara Qairina kena MA sebab dituduh mencuri?
Linah: Mungkin.
Prosiding inkues bersambung 2.15 petang ini.-UTUSAN.