Gesaan Muhyiddin undur demi survival parti

Gesaan Muhyiddin undur demi survival parti

LAPORAN Utusan Malaysia pada 8 September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan peralihan kuasa dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) bukan kerana dendam terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun lebih kepada survival dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Bersatu Bahagian Johor yang tidak mahu dinamakan berkata, perubahan itu perlu bagi memberi imej baharu terhadap parti tersebut di samping meningkatkan sokongan terhadap Bersatu dan PN itu sendiri.

“Separuh daripada ketua bahagian di Johor bimbang pada perkara yang sama sebenarnya. Kita bukan berdendam dengan Tan Sri Muhyiddin, beliau adalah Presiden yang datang dari negeri yang sama dengan kami. Kami ini semua di bawah pimpinannya, takkan kami hendak jatuhkan ketua kami sendiri jika ikut logiknya.

“Bagi saya ini bukan isu menolak Muhyiddin. Tetapi saya berpegang dengan nasihat Muhyiddin sendiri iaitu kita mesti sentiasa letakkan parti di depan.

“Kita ada peluang untuk menang dan jika berlaku perubahan kepemimpinan ke arah wajah baharu dan tawaran yang segar, peluang menang itu melonjak naik. Demi kemenangan parti, kita semua mesti berani berkorban,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, akhbar ini mela­porkan kira-kira 120 ketua bahagian Bersatu telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Perkara itu disahkan Ke­tua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi yang mengakui SD itu dibuat dengan mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani PRU16.

Mengulas lanjut, Ketua Bahagian Bersatu Johor itu memaklumkan 16 daripada 26 Ketua Bahagian Bersatu Johor menandatangani SD tersebut yang meminta Muhyiddin membuat peralihan kuasa kepada Hamzah.

“Memang benar ada dokumen yang ditandatangani. Di Johor, iaitu negeri Muhyiddin sendiri, saya dan 15 lagi ketua bahagian menandatangani do­kumen ini, menjadikan semuanya 16.

“Jika kita letakkan parti di depan, tidak ada salahnya untuk kita menaikkan Muh­yiddin menjadi penasihat parti sementara Hamzah me­mimpin untuk kita menang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN