Doa, pesanan arwah ibu pemangkin kejayaan

Doa, pesanan arwah ibu pemangkin kejayaan

WAN Muhammad Haikal Wan Kamri (tiga dari kanan) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur di Majlis Konvokesyen kali ke-48 Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2025 di UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Dorongan kuat daripada bapa dan pesanan ibunya, Allahyarham Sharifah Endot supaya terus menuntut ilmu hingga ke menara gading menjadi pemangkin kejayaan Wan Muhammad Haikal Wan Kamri, 22.

Pelajar cemerlang lulusan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, Pahang itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur.

Dia bukan sahaja menamatkan pengajian diploma dalam kejuruteraan awam dengan keputusan membanggakan, malah kini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Katanya, kejayaan diraih adalah hadiah buat arwah ibunya yang meninggal dunia tahun lalu yang pernah berpesan supaya dia tidak berhenti belajar selagi belum menggenggam ijazah.

Wan Muhammad Haikal anak bongsu daripada lima adik- beradik itu berkata, pemergian ibunya menjadi titik tolak untuknya menanam tekad agar terus berusaha mencapai kejayaan yang boleh membanggakan keluarga.

“Kalau ikutkan rasa sedih, saya pernah mahu berhenti belajar kerana tiada semangat selepas arwah ibu meninggal dunia.

“Tetapi saya ingat semula pesanan arwah supaya belajar dan menggenggam segulung ijazah. Alhamdulillah, dengan semangat dari ayah, Wan Kamri Wan Mohamad dan adik- beradik, saya berjaya mengharungi segala cabaran,” katanya pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2025 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin ( Unisza) , di sini kelmarin.

Wan Muhammad Haikal berkata, minatnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan membuatkan dia berjaya mencapai Purata Nilai Mata 3.93 serta menerima Anugerah Ketua Jabatan (AKJ) bagi setiap semester sepanjang pengajian.

“Walaupun arwah ibu tidak sempat melihat saya sampai ke tahap ini, saya percaya doanya masih mengiringi setiap langkah saya,” katanya yang bercita-cita mahu bergelar seorang pensyarah.

Sementara itu, penerima Anugerah Ketua Pengarah bagi kategori Kolej Komuniti , Nurafiqah Alyaa Muhammed Yazid, 22, dari Kolej Komuniti Rompin dipilih berdasarkan kejayaan cemerlang dalam akademik, kepemimpinan serta kokurikulum di peringkat negeri dan kebangsaan.

Selain cemerlang dalam bidang akademik iaitu dalam Sijil Kulinari, Nurafiqah Alyaa membuktikan keupayaan luar biasa apabila berjaya mengekalkan Purata Nilai Mata Kumulatif 4.00 secara konsisten dari semester 1 hingga semester 4.

Keterlibatannya dalam bidang kokurikulum turut membanggakan apabila mengharumkan nama institusi dalam sukan woodball, termasuk menjuarai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×