SEREMBAN: DAP menyarankan agar Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) membabitkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksanakan secara serentak bagi menjimatkan kos selain memastikan kelancaran pilihan raya itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu juga dapat memastikan penggal pilihan raya dapat diselaraskan semula selepas pilihan raya Parlimen serta DUN membabitkan beberapa negeri di Semenanjung dilaksanakan secara berasingan sebelum ini.
“Pendirian saya sebagai pemimpin DAP, saya rasa bahawa adalah lebih baik sekiranya kerajaan-kerajaan negeri di bawah kita (Kerajaan Perpaduan) boleh bincang dengan kerajaan Persekutuan supaya pilihan raya itu serentak.
“Saya rasa adalah lebih wajar dan lebih bertanggungjawab untuk diadakan secara serentak supaya kos itu juga dapat dijimatkan, selain dapat memastikan kelancaran pilihan raya. Sudah tentu daripada segi politik kita hendak memaksimumkan peluang kita untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Kali ke-23 DAP Negeri Sembilan, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengulas lebih lanjut, Anthony Loke berkata, walaupun perkara itu belum dibincangkan secara rasmi namun persiapan telah telah dimulakan sekiranya pilihan raya umum diadakan serentak.
“Pilihan raya perlu serentak dan selari untuk memastikan kelancaran pilihan raya dan memastikan momentum kita dalam keadaan terbaik. Kalau melihat dalam konteks itu, kita sebenarnya sudah masuk dalam gear pilihan raya.
“Dalam tempoh 18 bulan perlu diadakan PRU16, walaupun tempoh Parlimen kita boleh sampai penghujung tahun 2027 tetapi ada beberapa faktor yang perlu kita lihat dan fahami, bukan sahaja kita perlu lihat Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang tetapi juga ada beberapa negeri lain di mana tempoh mereka akan tamat lebih awal seperti Melaka, Johor dan Sarawak.
“Sudah tentu kuasa untuk menentukan (pilihan raya) adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri tetapi kami di peringkat parti hasrat dan tanggungjawab kami adalah membuat persiapan untuk memastikan kami dalam kedudukan paling kukuh dan kuat,” katanya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya pilihan raya umum diadakan tidak lama lagi, beliau menegaskan pendirian serta prinsip DAP adalah jelas.
“Pendirian kami jelas dan memang difahami oleh semua pihak. Kalau kita bekerjasama dalam kerangka Kerajaan Perpaduan maka kita tidak boleh bertembung antara satu sama lain.
“Kalau tidak bertembung antara satu sama lain maksudnya kita perlu ada pembahagian kerusi yang jelas. Jadi pembahagiaan kerusi ini mesti ada prinsip dia. Prinsipnya mana-mana kerusi yang telah pun dimenangi oleh parti tersebut, perlu dikekalkan oleh parti tersebut.
“Kalau Barisan Nasional (BN) menang, kita tak lawanlah. Kita (DAP) menang, parti lain tak lawanlah. Jadi itu yang saya maksudkan kalau kita kerjasama menggunakan kerangka Kerajaan Perpaduan ini hendak diteruskan sampai pilihan raya depan,” katanya.-UTUSAN.









