PETALING JAYA: Pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang bermula hari ini dijangka mengubah corak perbelanjaan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mula mengambil peluang bukan memperbaharui MyKad tetapi juga lesen memandu bagi melayakkan mereka menerima subsidi petrol pada harga RM1.99 seliter.
Seorang pesara swasta, Maznah Mansoor, 61, berkata, dia melihat mekanisme itu dapat meringankan beban kos sara hidup rakyat apabila lebihan wang boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.
Katanya, pengurangan enam sen meskipun dilihat kecil sebaliknya ia mampu memberi impak besar kepada kos kehidupan seharian rakyat.
“Kita dapat gunakan sepenuhnya kemudahan ini kerana dapat meringankan beban kos sara hidup. Jadi kita dapat gunakan sepenuhnya kemudahan ini untuk keperluan harian seperti berulang-alik dan membeli barangan,” katanya ditemui semalam.
Bagi seorang lagi pekerja swasta, Amirul Ariffin Azmi, 33, berkata, penggunaan MyKad bagi memperoleh harga RM1.99 dapat mengelakkan ketirisan dan penyeludupan bahan api secara haram.
“Perkara ini dapat mengurangkan kerugian kepada kerajaan dan pada masa sama memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
“Dengan cara ini, rakyat dapat menikmati subsidi secara lebih adil dan berkesan, selain memberi manfaat lain kepada negara dalam jangka panjang,” katanya.
Namun dia yakin bahawa pelaksanaan BUDI95 di stesen minyak berjalan lancar khususnya menerusi kemudahan aplikasi seperti Setel dan Touch n Go.
Sebaliknya bagi seorang peniaga, Azwan Haziq, 35, berkata, penurunan harga sebanyak 6 sen didapati tidak terlalu ketara dan sewajarnya difokuskan kepada golongan sasar.
“Lagipun tidak memberi banyak perbezaan kepada perbelanjaan harian. Kalau disalurkan melalui tunai, ia lebih baik kerana wang tersebut boleh digunakan terus untuk pelbagai keperluan lain,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, BUDI95 boleh mempengaruhi corak perbelanjaan rakyat apabila dihadkan kepada kuota tertentu sekali gus memberi ruang orang ramai lebih bijak menggunakan petrol.
“Dengan cara ini, orang ramai dapat mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dan dapat mengutamakan pengangkutan awam.
“Had 300 liter sebulan biasanya mencukupi untuk kebanyakan isi rumah. Namun, bagi mereka yang mengunakan kenderaan lebih kerap seperti pemandu e-hailing atau isi rumah di kawasan luar bandar mungkin memerlukan pertimbangan tambahan.
“Kejayaan BUDI95 bergantung kepada komunikasi yang jelas, ketelusan dan keyakinan rakyat bahawa sistem ini adil,” katanya. – UTUSAN










