Banjir kilat landa Chiku, 50 buah rumah terjejas - Utusan Malaysia

Banjir kilat landa Chiku, 50 buah rumah terjejas

KEADAAN rumah seorang penduduk yang dilanda banjir kilat di Felda Chiku 2, Gua Musang, Kelantan hari ini. FOTO: IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hujan lebat berterusan sejak petang tadi menyebabkan kawasan Felda Chiku 1 dan Felda Chiku 2 dilanda banjir kilat sekali gus menyaksikan lebih 50 buah rumah ditenggelami air.

Seorang penduduk, Muhammad Hazim Mohd. Bakri, 25, berkata, air mula melimpah masuk ke kawasan rumah kira-kira pukul 5 petang.

“Ini adalah kejadian banjir kali kedua berlaku di Felda Chiku 2 yang membabitkan ramai penduduk. Beberapa bulan lalu keadaan banjir kilat tidak seteruk ini.

“Felda Chiku 2 sering dilanda banjir kilat sejak projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dijalankan di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu seorang lagi penduduk Razali Daud, 73, memberitahu, dia terkejut apabila air banjir mula memenuhi ruang dapur rumahnya kira-kira pukul 6.30 petang.

Katanya, sebelum ini kejadian banjir tidak pernah berlaku di rumahnya.

“Ini kejadian pertama sejak saya tinggal di kawasan ini. Air naik dengan cepat terutamanya di bahagian dapur rumah.

“Kebiasaannya walaupun hujan lebat dalam tempoh yang lama air tidak pernah masuk ke dalam rumah. Ketika ini hujan masih turun dan paras air masih belum surut,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN