WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menawarkan visa ‘Kad Emas’ kepada individu yang sanggup membayar sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM4.2 juta).
Menurut perintah itu, individu bukan warganegara AS yang menyumbang jumlah berkenaan kepada Jabatan Perdagangan akan layak untuk disegerakan proses mendapat visa imigresen.
Syarikat juga boleh menaja individu jika sumbangan mereka mencapai AS$2 juta (RM8.4 juta).
Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick berkata, kira-kira 80,000 Kad Emas akan ditawarkan dan program itu masih dalam fasa pelaksanaan.
Mereka yang diluluskan selepas saringan oleh Jabatan Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, serta membayar yuran saringan AS$15,000 (RM63,090), akan dianggap sebagai penduduk tetap yang sah iaitu pemegang kad hijau.
Kad Emas akan menggantikan visa EB-1 dan EB-2 sedia ada, yang sebelum ini memberikan kad hijau kepada individu mempunyai kepakaran atau bakat luar biasa dalam perniagaan atau bidang lain.
Menerusi laman web kerajaan, kad berwarna cerah dan berlapis emas itu menampilkan gambar Trump, tandatangannya, serta imej helang botak dan Patung Liberty, dengan slogan ‘Buka peluang untuk hidup di Amerika’.
“Dalam tempoh kurang sebulan, kategori visa Kad Hijau lain mungkin akan digantung, dan model Kad Emas akan menjadi cara untuk individu memasuki negara ini,” kata Lutnick.
Pentadbiran Trump juga sedang mempertimbang tawaran ‘Kad Platinum’ bernilai AS$5 juta (RM21 juta) yang membolehkan pemegangnya tinggal sehingga 270 hari di Amerika tanpa membayar cukai pendapatan bukan AS mereka.
Program itu, yang menurut Lutnick tidak memberi laluan kepada kerakyatan, memerlukan kelulusan Kongres sebelum dilaksanakan.- AGENSI









