16 juta layak beli petrol RM1.99 seliter

16 juta layak beli petrol RM1.99 seliter

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menu­nai­kan janji apabila kira-kira 16 juta rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah, akan menikmati petrol ­RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula 30 September ini.

Ketika ini, rakyat Malaysia menikmati subsidi petrol RON95 pada kadar RM2.05 seliter.

Pemberian subsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) itu layak kepada individu tanpa mengira tahap pendapatan dan kedudukan.

Kemudahan subsidi itu kan mula diguna­kan oleh kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera pada 27 September, ma­nakala lima juta golongan B40 atau penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September.

Di bawah inisiatif itu, semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter tetapi pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi.

Bagi bukan warganegara pula, harga petrol RON95 ditetapkan adalah pada kadar bukan subsidi iaitu RM2.60 seliter.

Pelaksanaan BUDI95 dijangka memberi penjimatan kepada negara antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah dunia yang ditentukan pasaran global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keistimewaan ini sebagai pengiktirafan dan penghargaan untuk semua rakyat Malaysia mengambil semangat sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Mulai 30 September juga, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi, ia hanya untuk perseorangan yang ada lesen memandu.

“Seperti langkah penghargaan SARA, ia tidak kira tahap pendapatan atau kedudukan rakyat kerana kita berikan manfaat subsidi RON95 ini kepada semua secara automatik.

“Mungkin ada juga kritik mengapa golongan mahakaya pun dapat subsidi, ini kerana ia satu penghargaan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95 dan hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi.

Hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar dan pembaca MyKad disediakan di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kese­sakan.

Bagi mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi.

Anwar berkata, Malaysia mencatat sejarah apabila menjadi satu-satunya negara di dunia yang berani menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter, meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan beban hutang yang tinggi.

Beliau berkata, Malaysia antara yang terendah harga minyak berbanding di beberapa negara lain, termasuk Arab Saudi (RM2.61 seliter), Indonesia (RM3.22), Filipina (RM4.22), Thailand (RM5.68) dan Singapura (RM9.02).

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, negara mengalami penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun ekoran pelaksanaan subsidi bahan api, namun jumlah itu bergantung kepada harga minyak mentah dunia yang ditentukan pasaran.

“Jika harga minyak dunia sekitar AS$75 setong, penjimatan subsidi boleh mencecah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi libat urus Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, Pulau Pinang

Menurut Amir Hamzah, harga petrol RON95 di Malaysia yang ditetapkan antara yang terendah di dunia dan rantau ini, membuktikan kerajaan terus mengekalkan keutamaan dalam menjaga kepentingan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang bergantung kepada bahan api untuk urusan harian.

“Jika kita lihat, harga petrol bersubsidi ini pada RM1.99 tetap menempatkan Malaysia dalam kelompok negara yang menawarkan bahan api paling murah di dunia. Malah, apabila harga pasaran diapungkan, kita masih lagi kekal antara negara dengan harga terendah di rantau ini.

“Harga RM1.99 ialah harga bersubsidi. Ia tidak akan diturunkan lagi walaupun harga minyak dunia jatuh. Yang berubah hanyalah harga pasaran semasa, bukan harga bersubsidi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN