SEREMBAN: Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membangunkan inovasi fon Rasm IshaRI bertujuan memperkasakan pembacaan dan pemahaman al-Quran dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Menurut Pengarah Ummi, Prof. Madya Dr. Norakyairee Mohd. Raus, pembangunan fon tersebut selepas menerima permintaan daripada komuniti OKU pendengaran yang ingin bahan pembelajaran al-Quran yang mesra buat mereka.
“Sejak tahun 2017, Kami mula membuat kajian untuk membangunkan Al-Quran terjemahan isyarat yang mesra OKU pendengaran.
“Fon in dihasilkan bagi membantu golongan OKU pendengaran membezakan huruf bersambung dalam ayat Al-Quran yang sebelum ini sukar dikenal pasti disebabkan ciri tulisan khat yang kompleks dan pelbagai gaya bentuk.
“Masalah utama mereka adalah tidak dapat bezakan huruf dalam al-Quran, terutamanya huruf bersambung seperti mim, lam, atau nun. Tulisan khat yang digunakan dalam mushaf sangat cantik, tetapi kompleks bagi mereka yang hanya bergantung kepada visual semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian USIM-Yayasan Ri dan Prapelancaran Font Rasm IshaRI di USIM, Nilai di sini semalam.
Yang hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Pemegang Amanah Yayasan RI, Mohd. Faizul Surani dan Ketua Pegawai Operasi Dar Al Qari Resources, Jailani Jantan.
Menurut Norakyairee, berbeza dengan individu normal yang belajar melalui bacaan dan bunyi, OKU pendengaran pula tidak boleh menggunakan kaedah sebegitu. “Mereka lebih bergantung kepda pengecaman bentuk visual, menjadikan baris-baris dalam al-Quran kurang relevan bagi tujuan pembelajaran.
“Oleh itu, fon khas yang dibangunkan dengan jarak dan struktur huruf yang diolah semula supaya lebih jelas, mesra visual dan menonjolkan ciri huruf bersambung yang selama ini mengelirukan,” katanya.
Tambah Norakyairee, sebuah aplikasi khas yang menggabungkan fon tersebut bersama ciri interaktif bagi kegunaan pelajar OKU pendengaran, ibu bapa dan guru pendidikan khas juga telah dihasilkan.
“Setakat ini, pasukan kami telah berjaya menyiapkan tiga juzuk terjemahan al-Quran mesra OKU pendengaran , selain membangunkan modul pembelajaran asas kitab suci tersebut yang menggabungkan pendekatan interaktif, visual dan latihan pengukuhan.
Dalam pada itu, Norakyairee berkata, kesemua inisiatif itu dilaksanakan secara berperingkat selama enam tahun bersama pihak Yayasan RI melibatkan geran berjumlah RM3.9 juta.
Sebelum ini, Yayasan RI telah menyumbangkan dana berkenaan bagi menjayakan projek terjemahan Quran isyarat untuk komuniti OKU pendengaran.
Sementara itu, Dr. Sharifudin dalam ucapannya berkata, inisiatif yang dihasilkan bukan sahaja akan membantu OKU pendengaran membaca malah memahami isi kandungan al-Quran melalui pendekatan visual yang sistematik dan tersusun.
“Saya berharap jalinan kerjasama ini akan terus berkembang dan memberi impak positif kepada kedua-dua institusi serta masyarakat,” katanya.-UTUSAN.










