Tun Mohd. Ali ingatkan rakyat Melaka pelihara keamanan

Tun Mohd. Ali ingatkan rakyat Melaka pelihara keamanan

Mohd. Ali Mohd. Rustam menyampaikan ucapan pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2025 sempena Hari Jadi Ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam mengingatkan rakyat negeri Melaka bahawa keamanan yang dinikmati hari ini bukan jaminan akan kekal sebaliknya perlu dipelihara dengan usaha berterusan.

Berucap sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 dan penyampaian Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka beliau berkata, keunikan masyarakat majmuk kita terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan keturunan menjadi aset terbesar yang telah menjadi nadi kemajuan dan kemakmuran negara.

“Saya amat berharap agar seluruh rakyat Melaka terus berganding bahu menjaga keharmonian antara kaum agar negeri ini kekal aman, damai dan terus melangkah maju.

“Kita haruslah mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi perkauman walaupun rakyat diberi kebebasan bersuara dan janganlah kebebasan itu disalahguna hingga meretakkan tali persaudaraan dan merosakkan semangat muhibah sesama kita.

“Saya menyeru agar rakyat Melaka terus berdiri teguh di belakang kerajaan demi perpaduan, kestabilan dan kepentingan Bersama serta Bersatu menjadikan Melaka sebuah negeri contoh dalam mewujudkan keharmonian dan perpaduan,” ujarnya di Balai Istiadat Seri Negeri Ayer Keroh, di sini hari ini.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengetuai senarai 331 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Mohd Ali Rustam.

Mengulas lanjut beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan kepercayaan memilih Melaka menjadi tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) serta pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurutnya, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah itu bukan sahaja membuktikan pengiktirafan terhadap keunikan dan keistimewaan negeri ini dari segi sejarah, budaya dan pembangunan malah membuka peluang kepada sektor pelancongan ekonomi dan komuniti berkembang maju.

“Saya berharap semoga pencapaian yang membanggakan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk terus melakar kejayaan baharu, memperkukuh agenda pembangunan negeri serta melahirkan lebih ramai pemimpin dan generasi pelapis berintegriti,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohd. Ali berkata, ekonomi negeri berkembang pada kadar 4.4 peratus bagi tahun 2024 dan menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatat rekod sebanyak RM48.9 bilion berbanding RM46.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, beliau percaya ekonomi Melaka akan terus berkembang dengan baik pada masa akan datang selari dengan ekonomi Malaysia.

Sehubungan itu beliau berharap setiap dasar dan program yang digubal kerajaan negeri perlulah sentiasa mengutamakan kepentingan serta keperluan rakyat.

“Hanya dengan cara ini kita dapat memastikan rakyat Melaka menikmati kualiti hidup yang lebih baik, seimbang dan inklusif,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN