MACHANG: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan belum memutuskan sama ada akan menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kedah bulan depan.
Menurut Mohamed Fadzli, beliau mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat keputusan kerana mahu meneliti kesesuaian tugasnya sebagai pentadbir negeri dengan amanah besar di peringkat pusat.
Katanya, beliau akan melaksanakan solat istikharah malam ini untuk memohon petunjuk sebelum membuat keputusan muktamad.
“Esok tarikh akhir (pengesahan calon). Saya perlu banyak berfikir dengan tanggungjawab di Kelantan.
“Insya-Allah, selepas solat istikharah malam ini saya akan tentukan sama ada bertanding atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Banggol Kemian di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Dr Mohd. Azmi Lila dan Ketua Pengawai Eksekutif SPNB Mohd. Jamil Idris.
Mohamed Fadzli merupakan antara nama dari Kelantan yang disenaraikan sebagai calon layak untuk merebut jawatan AJK Pas Pusat kali ini.
Selain beliau, Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud turut berada dalam senarai tersebut.-UTUSAN