PETALING JAYA: Kemasukan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd. Aziz ke PKR Ampang tidak semestinya menjadikan beliau calon Ahli Parlimen kawasan berkenaan kerana parti itu terkenal meletakkan calon di kerusi berbeza.
Ketua PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, Ahli Parlimen Ampang ketika ini Rodziah Ismail bukanlah ahli PKR di kawasan itu sebaliknya ahli PKR Shah Alam.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kemasukan Tengku Zafrul sebagai ahli PKR Ampang, satu isyarat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“PKR ini partinya unik, jika seseorang itu menyertai sesuatu cabang tidak semestinya dia akan menjadi calon Parlimen (cabang) tersebut, tetapi ia tak mustahil (menjadi calon) juga.
“Ahli Parlimen Ampang sekarang bukan ahli PKR Ampang, beliau ahli PKR Shah Alam terapi menjadi calon di sini pada PRU15 yang lepas,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Tengku Zafrul mengesahkan beliau diterima sebagai ahli PKR Ampang sejak dua minggu lalu.
Rodziah yang memenangi kerusi Parlimen pada PRU-15, dikaitkan dengan kem Rafizi Ramli, bekas Timbalan Presiden PKR yang tewas pada pemilihan baru-baru ini.
Pada 30 Mei lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Syed Ahmad lebih dikenali sebagai Altimet berkata, pihaknya tiada masalah untuk menyokong sekiranya kemasukan Tengku Zafrul di PKR Ampang sebagai calon Ahli Parlimen Kawasan itu pada PRU16.
Katanya, kemasukan Tengku Zafrul merupakan satu nilai tambah kepada PKR khususnya kawasan Ampang kerana beliau merupakan seorang ahli teknokrat disegani.
“Sejujurnya, saya tak pernah ada masalah dengan keputusan (PKR) pusat, kita sokong semua seperti mana kita sokong Rodziah.
“Saya tak pernah mencemburui keputusan tampuk kepimpinan. Walaupun cabang ada suaranya tetapi mengambil kira banyak faktor untuk membuat sesuatu keputusan,” katanya. – MINGGUAN










