TUMPAT: Cubaan seorang lelaki tempatan yang positif dadah menyeludup masuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Nepal ke negara melalui pangkalan haram Kak Nah di sini gagal selepas dicekup anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Suspek berusia 27 tahun ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan semasa memandu sebuah kereta jenis Perodua MyVi pada pukul 7.10 malam.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota bertugas berjaya mengesan sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan bagi tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati salah seorang warganegara Nepal itu mempunyai pasport namun masuk ke negara ini secara tidak sah.
“Seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bagi siasatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas tekong darat itu menunjukkan dia positif dadah jenis Methamphetamine.
“Pemandu berkenaan kini ditahan di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala dua warga Nepal itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.-UTUSAN