Tanjung Jaga persis Koh Samui

Tanjung Jaga persis Koh Samui

JALAN Pantai Barat Kedah yang menghubungkan Yan dan Merbok menjadi tumpuan kerana disifatkan ‘ala-ala Koh Samui’ di Tanjung Jaga, Yan. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Jika sebelum ini nama Tanjung Jaga di Yan jarang di­sebut-sebut, kini kawasan ber­kenaan menjadi tumpuan apabila semakin ramai pengunjung membanjiri lokasi itu untuk menikmati suasana yang disifatkan ‘ala-ala Koh Samui’.

Terletak di pesisir Yan yang menghadap Selat Melaka dan Laut Andaman, laluan Tanjung Jaga kini berubah wajah sebagai destinasi tumpuan baharu khususnya buat pecinta pemandangan lautan luas dan deretan pokok yang melengkapkan panorama ala lokasi peranginan.

Pengunjung yang datang tidak hanya mahu merakam gambar kenangan malah ramai yang memilih untuk berehat di tepi jalan sambil menikmati tiupan angin laut yang menenangkan.

Tidak kurang juga yang menjadikan kawasan ini sebagai lokasi aktiviti berbasikal dan menunggang motosikal santai.

Menurut pengunjung, Azizi Jali, 34, suasana di Tanjung Jaga mengingatkannya kepada pengalaman bercuti di beberapa lokasi terkenal di Thailand.

“Kalau tengok gambar pun ramai tidak sangka ini di Kedah, sebab pemandangannya mirip seperti di Koh Samui. Jalan tepi laut dengan angin sepoi-sepoi dan suasana tenang ini memang buat kita rasa macam berada di luar negara,” katanya.

Selain itu, faktor kedudukannya mudah diakses dari pekan Yan dan hanya mengambil masa kira-kira sejam dari Alor Setar menjadikan Tanjung Jaga semakin dikenali sebagai lokasi persinggahan hujung minggu.

Zuraida Rahim, 45, pula melihat perkembangan itu sebagai peluang meningkatkan ekonomi kecil-kecilan penduduk setempat seperti menjual makanan dan minuman berdekatan lokasi tumpuan itu.

“Kalau dulu kawasan ini hanya laluan biasa, tetapi sekarang orang singgah untuk bergambar dan berehat, secara tidak langsung peniaga kecil-kecilan sekitar kawasan ini akan meraih manfaat,” katanya.

Tambahnya, dengan keindahan semula jadi dan suasana yang belum terusik pembangunan besar-besaran, Tanjung Jaga berpotensi untuk terus berkembang sebagai destinasi pelancongan unik sekali gus mengangkat nama Yan sebagai ‘permata tersembunyi’ Kedah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×