Tangkapan dadah di Thailand, pemilik MPV miliki dua kerakyatan

Tangkapan dadah di Thailand, pemilik MPV miliki dua kerakyatan

MOHD. Yusoff Mamat (kiri) menyerahkan surat penghargaan kepada pegawainya yang berkhidmat cemerlang semasa Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran Malaysia yang yang disita pihak berkuasa Thailand selepas terlibat dengan sindiket dadah mempunyai kedua kerakyatan.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sebaik sahaja menerima maklumat tersebut pihaknya telah membuat semakan berpandukan kepada nombor pendaftaran dan mendapati pemilik MPV itu mempunyai dua kerakyatan.

“Pemilik MPV itu merupakan seorang wanita dan pada masa sama turut mempunyai kerakyatan Thailand.

“Wanita berkenaan berusia 30-an dan usaha menjejak suspek sedang giat dilakukan. Kita sentiasa bekerjasama dan bertukar-tukar maklumat dengan pihak berkuasa negara jiran dalam membendung penyeludupan dadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Katanya, semakan mendapati wanita berkenaan tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, sebuah MPV jenis Toyota Vellfire bernombor pendaftaran Malaysia antara 13 aset yang disita dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan Thailand dengan Malaysia.

Jurucakap polis daerah berkata, operasi khas itu dilaksanakan secara serentak di lima lokasi sekitar Sungai Golok pada Khamis membabitkan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9, Polis Wilayah 9 dan Pusat Operasi Khas Wilayah Sempadan Selatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN