Tabika Kemas kanak-kanak Autism di Perlis tahun hadapan - Utusan Malaysia

Tabika Kemas kanak-kanak Autism di Perlis tahun hadapan

ROZABIL Abd. Rahman (tiga dari kiri) membuat gimik pelancaran Program Santunan Desa Kemas Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025 di Denai Larian Pengkalan Asam, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) bekeperluan khas atau Tabika Autisme di bawah Jabatan kemajuan Masyarakat (Kemas) akan diperluaskan di negeri ini tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Kemas negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, inisiatif di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu akan memberi peluang buat anak-anak autism khususnya di Perlis untuk mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak lain.

Katanya, buat masa ini, inisiatif itu telah dimulakan di negeri Melaka dengan tiga buah tabika dan akan diperluaskan ke negeri-negeri lain pada tahun hadapan.

“Ini merupakan tabika khas yang akan beroperasi dengan memberi penumpuan untuk pembelajaran buat anak-anak autism,” katanya ketika ditemui selepas Program Santunan Desa Kemas Peringkat Negeri Perlis 2025 di Denai Larian Pengkalan Asam, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan Tabika Kemas Autisme pertama di Malaysia akan dibuka di setiap daerah bermula di Melaka dengan mengutamakan anak-anak golongan B40.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, inisiatif tersebut merupakan antara lima cadangan dikemukakan untuk dilaksanakan Kemas dalam mencipta lebih banyak inisiatif berimpak tinggi.

Dalam pada itu, Rozabil berkata, modul pembelajaran untuk tabika itu juga telah disediakan, malah guru-guru turut mengikuti kursus khas bagi mengajar anak-anak autism itu.

“Sebelum ini, anak-anak autism perlu mengikuti pembelajaran di tabika swasta yang mahal dan saya percaya golongan di desa ini tidak akan hantar anak ke sana kerana bayarannya tinggi.

“Di Kemas, seperti yang kita tahu, semua percuma jadi ia beri ruang untuk bantu masyarakat desa yang mempunyai anak-anak istimewa ini mendapat pembelajaran yang baik,” katanya.

Tambah beliau, komuniti masyarakat desa sememangnya amat menghargai usaha dilaksanakan itu, tambahan pula jumlah kanak-kanak mengidap autism turut menunjukkan peningkatan saban tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN