JOHOR BAHRU: Skim tanaman semula sawit buat pekebun kecil yang diketengah dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia selaku pengeluar sawit kedua dunia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.
Katanya, dianggarkan sebanyak RM1.4 bilion diperlukan bagi usaha tersebut dalam tempoh lima tahun rancangan Malaysia itu.
“Bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi, saya nampak ada usaha diambil kerajaan untuk tingkatkan penanaman semula sawit oleh pekebun-pekebun kecil.
“Dianggarkan sebanyak RM1.4 bilion diperlukan untuk usaha ini sepanjang tempoh lima tahun. Jadi pekebun kecil yang mana pokok-pokok mereka sudah tua, mereka akan boleh tanam semula,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru, semalam.
Tambah Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, langkah tersebut akan terus mengukuhkan kedudukan negara selaku pengeluar sawit kedua dunia selepas Indonesia.
“Sekarang eksport sawit kita bernilai RM115 bilion, dengan inisiatif yang menyokong tanaman semula sawit oleh pekebun-pekebun kecil ini, kita akan dapat tingkatkan lagi eksport dan kukuhkan kedudukan.
“Isnin depan (esok) debat bagi RMK13 akan bermula, daripada situ kita akan peroleh banyak ‘feedback’ daripada Ahli-Ahli Parlimen,” jelasnya.
Khamis lalu, Anwar dilaporkan berkata pihaknya memberi komitmen untuk terus melonjakkan pembangunan sektor strategik negara menerusi pelbagai pendekatan berimpak tinggi dalam RMK13 termasuklah menumpukan kepada peningkatan produktiviti sektor agrikomoditi seperti sawit, getah dan koko.
Sebelum ini, kerajaan telah melaksanakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit yang memberikan pembiayaan sebanyak RM14,000 sehektar bagi pekebun kecil Semenanjung dan RM18,000 bagi pekebun kecil Sabah dan Sarawak. – UTUSAN










