Sikap buruk punca nahas, bukan usia

Sikap buruk punca nahas, bukan usia

CHE Saad Nordin masih mampu memandu kereta tanpa terlibat sebarang kemalangan walaupun telah mencecah usia 75 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Ketika rakan seusianya ramai yang terlantar di atas katil kerana sakit tua, Che Saad Nordin, 75, masih mampu memandu kenderaan sama ada untuk jarak dekat atau ketika mempunyai urusan di luar daerah.

Jika tidak mempunyai urusan keluarga pula, dia akan memandu seorang diri dari rumahnya di Padang Serai ke pekan Baling sejauh kira-kira 40 kilometer setiap hari untuk minum pagi dan berjumpa rakan-rakannya.

Malah dengan tahap kesihatan yang baik kerana tidak menghidap sebarang penyakit, datuk kepada sembilan cucu ini juga masih mampu memandu untuk memenuhi jemputan kahwin walaupun sehingga ke Pantai Timur yang berjarak ratusan kilometer.

“Saya mula memandu kereta ketika berusia 23 tahun kerana bantu ayah bawa hasil kampung untuk dijual di pekan Baling. Walaupun pada masa itu saya tiada lesen ayah bagi kebenaran terutamanya ketika dia tidak sihat sebelum saya memperolehi lesen memandu beberapa tahun selepas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Che Saad, dia juga boleh memandu seorang diri untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu menukar pemandu kerana matanya masih terang dan tidak pernah merasa letih selain tidak pernah terlibat kemalangan.

“Saya mengamalkan tidur awal dan banyak minum air masak sebelum bercadang memandu dalam jarak jauh. Selain itu saya suka memandu daripada menunggang motosikal kerana rasa keselamatan lebih terjamin sama ada kemalangan, cuaca panas atau hujan,” katanya.

Menurut Che Saad, dia kurang bersetuju jika terdapat cadangan pihak tertentu yang mahu menghadkan usia bagi memandu kende­raan kerana langkah itu tidak praktikal.

“Kebanyakan kemalangan jalan raya sekarang disebabkan oleh sikap, sama ada pemandu itu berusia atau tidak buka faktor utama.

“Jika kita memandu mengikut peraturan, menghargai pengguna jalan raya lain dan sayangkan nyawa sendiri saya rasa usia berapa pun tidak akan beri masalah kepada orang lain,” katanya.

Di PAHANG, Penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut, Mohd. Ishak Yatim, 73, berkata, warga emas wajar dibenarkan memandu kerana masih ramai mencari rezeki untuk menyara hidup menggunakan kenderaan.

“Saya sebagai pekebun sawit dan getah perlu menggunakan kenderaan untuk menghantar hasil ke bandar Jerantut seminggu dua kali tanpa menimbulkan masalah dalam perjalanan pergi dan balik,” katanya.

Menurutnya, warga emas yang mempunyai pengalaman dan pemilikan lesen masih berupaya memandu dalam jarak yang jauh kerana mereka tahu malah lebih patuh kepada undang-undang keselamatan jalan raya berbanding golongan muda.

Penduduk Felda Sungai Te­kam Utara, Jerantut, Abd Majid Mat Ali, 74, pula berkata, warga emas masih relevan dibenarkan memandu kerana kenderaan merupakan keperluan bagi perjalanan ke tempat tertentu seperti masjid, surau, menziarahi saudara mara dan anak dalam radius lebih 100 kilometer.

“Saya masih mampu memandu ke Kuala Lumpur men­zia­rahi anak dan cukup bertenaga kerana sebelum bertolak terlebih saya menggunakan masa tidur yang mencukupi di samping menjaga kesihatan.

“Sekiranya warga emas berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan memandu kemungkinan menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan mereka. Lebih-lebih lagi pemanduan kenderaan antara keutamaan sebagai satu kemudahan berziarah, pergi beramal ibadat di samping memunggah barang bagi mereka yang masih bekerja sebagai pengusaha,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, jumlah kematian pemandu berusia 61 tahun ke atas yang tinggi akibat kemalangan jalan raya menimbulkan persoalan sama ada mereka la­yak atau sebaliknya untuk terus memandu.

Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), hampir 7,000 kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan peringkat umur itu direkodkan dalam tempoh enam tahun sejak 2019 hingga 2024.

Bagi tempoh itu, seramai 19,812 pemandu warga emas dalam usia berkenaan, dilaporkan terlibat kemalangan jalan raya, sekaligus mengundang kebimbangan banyak pihak khususnya PDRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN