Semua wakil rakyat wajib junjung titah Sultan Pahang, usah sibuk berpolitik - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Semua wakil rakyat wajib junjung titah Sultan Pahang, usah sibuk berpolitik – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua wakil rakyat di negeri ini wajib menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya tidak terlalu sibuk dengan urusan politik sepanjang masa, sebaliknya perlu lebih rajin turun padang menjenguk rakyat yang memilih mereka.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sebagai tanda menjunjung titah tuanku Sultan Pahang, pihaknya sudah pun menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membincangkan isu-isu utama yang membelenggu rakyat.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan memberikan tumpuan kepada isu-isu rakyat seperti bekalan air, isu pemilikan tanah dan keadaan jalan raya yang sering menjadi rungutan penduduk.

“Langkah ini penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan tidak terabai akibat terlalu banyak berpolitik. Kita perlu kembali kepada asas tanggungjawab sebagai wakil rakyat iaitu berkhidmat dan mendengar denyut nadi masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, DUN Pahang komited menjadi platform penyelesaian isu-isu rakyat melalui pendekatan yang inklusif dan berteraskan semangat muafakat antara semua pihak.

“Tuanku Sultan Pahang turut menggesa agar hubungan antara kerajaan dan pembangkang dapat dijalin secara harmoni dan adil, demi memastikan pembangunan negeri tidak terganggu oleh perbezaan ideologi politik.

“Dalam hal ini juga, DUN Pahang akan menjadi platform buat semua wakil rakyat termasuk pembangkang bagi mencari penyelesaian terbaik kepada masalah dihadapi rakyat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini menjadikan titah Al-Sultan Abdullah sebagai pedoman dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.

“Titah Tuanku bukan sekadar nasihat, tetapi satu seruan untuk kita kembali kepada prinsip asas kepimpinan yang berteraskan khidmat, keikhlasan dan keprihatinan terhadap rakyat,” katanya.

Dalam sesi temubual khas bersama Bernama, Al-Sultan Abdullah menitahkan wakil rakyat di negeri ini supaya tidak terlalu sibuk dengan urusan politik sepanjang masa sebaliknya perlu lebih rajin ‘turun padang’ menjenguk rakyat di kawasan yang. memilih mereka.

Sultan Pahang yang sememangnya terkenal dengan sikap prihatin dan mesra rakyat, bertitah, sebagai ‘Ahli Yang Berhormat’, mereka perlu sentiasa hadir di kawasan masing-masing secara berterusan untuk mendengar keluh-kesah dan memahami keperluan masyarakat terutama yang berdepan kesempitan hidup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN