KANGAR: Pasukan ragbi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin (Semsira) menamatkan penantian 10 tahun apabila muncul juara kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs) 2025 kategori lelaki bawah 18 tahun.
Pasukan bimbingan Mohd Hafiz Zainon bersama jurulatih, Mohd Syafiq Mohd Zai itu menumpaskan Kolej Vokasional Arau dengan keputusan selesa 29-0 dalam aksi akhir baru-baru ini.
Diketuai oleh Muhammad Fawwaz Amirulhaq Rafizi Effendy,17, pasukan Semsira turut bergaya dengan rekod bersih tanpa kalah di peringkat kumpulan selepas menundukkan SMK Tengku Sulaiman dan Kolej Vokasional Arau.
Sebagai juara kumpulan, pasukan berkenaan berdepan salah satu lagi pasukan gergasi ragbi negeri ini iaitu SMK Abi dalam perlawanan separuh akhir dengan meraih kemenangan tipis 7-0.
Kejayaan itu menjadi detik bersejarah buat Semsira apabila kembali menjuarai kejohanan MSSPs selepas penantian panjang 10 tahun dengan kali terakhir menjuarai kejohanan berkenaan pada tahun 2015.
Pasukan tersebut turut bergelar juara Kejohanan Ragbi National Rugby Development Programme (NRDP) Tujuh Sebelah Peringkat Negeri Perlis 2025 bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 17 tahun yang berlangsung pada 24 dan 25 Jun lalu.
Pencapaian gemilang ini bukan sahaja mengukir nama sekolah tersebut di persada sukan negeri, bahkan melahirkan pemain-pemain berbakat yang bakal mewakili Perlis di Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 pada September ini serta dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor.-UTUSAN