KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya menyelesaikan hampir keseluruhan 2,700 kes kebocoran paip yang ditinggalkan kerajaan terdahulu sejak tahun 2022.
Beliau berkata, sejak PN mengambil alih kerajaan negeri pada 2022, sebanyak 2,700 kes kebocoran air yang dilaporkan.
Katanya, dalam tempoh setahun memerintah iaitu pada 2023, Syarikat Air Perlis (SAP) telah berjaya menyelesaikan 2,000 kes.
“Pada 2024, kita melancarkan program ‘We Care’ yang menyegerakan pembaikan masalah kebocoran dan berjaya menyelesaikan lagi baki laporan kebocoran itu, dengan kini hanya tinggal 10 ke 15 kes kebocoran sahaja.
“Kesan daripada program ‘We Care’ oleh SAP itu juga berjaya membantu menurunkan kadar air tak berhasil (NRW) sebanyak 1.73 peratus. Insya-Allah selepas ini, dengan penukaran lebih banyak paip-paip uzur, ia akan mengurangkan lagi kadar NRW,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Izizam Ibrahim pula berkata, peningkatan hasil SAP dibawah kerajaan PN terus meningkat dan hutang juga berjaya diturunkan yang akhirnya berjaya mencatat keuntungan sebanyak RM1 juta tahun lalu.
Katanya, pada 2021 hasil SAP berjumlah RM35 dengan kerugian RM9 juta, pada 2022, hasil sebanyak RM40 juta dengan kerugian menurun kepada RM6 juta; 2023 juga menyaksikan penurunan hutang kepada RM5 juta dengan hasil RM44 juta dan pada 2024 menyaksikan syarikat tersebut berjaya meraih keuntungan RM1 juta.
Ujarnya, disebalik itu, kos operasi SAP juga meningkat setiap tahun iaitu RM44 juta pada 2021, RM46 juta pada 2022, RM49 juta pada 2023 dan RM50 juta pada 2024.
“Kejayaan tersebut juga dibantu dengan keberkesanan program ‘We Care’ dalam menyelesaikan masalah kebocoran itu. Punca utama kenaikan kos operasi SAP datangnya dari NRW atau bahasa lebih mudah, kehilangan air.
“Sebagai contoh, daripada 100 liter air yang dihasilkan, hanya 38 liter air sahaja yang sampai di meter pengguna. Air itu dikenal pasti berpunca daripada tiga faktor iaitu kebocoran, sistem rangkaian paip lama berusia lebih 40 tahun dan kelemahan pemantauan.
“Selain itu, tarif air di Perlis juga tidak pernah disemak selama 30 tahun meskipun kos rawatan, tenaga dan penjagaan meningkat setiap tahun manakala negeri-negeri lain telah beberapa kali menyelaraskan tarif air bagi meningkatkan operasi yang lebih mampan,” katanya.-UTUSAN